Tuesday, October 11, 2016

IOI & Tabung Haji terkait pembakaran, pemusnahan hutan serta manipulasi buruh kanak - kanak di Indonesia

IOI Tidak Mahu Bertanggungjawab Atas Pembakaran Hutan Di Indonesia..
10 Okt 2016, Deligasi SAMM hadir untuk berbincang berkenaan laporan Greenpeace Indonesia yang mengaitkan IOI dengan pemusnahan pembakaran hutan secara terbuka juga buruh kanak kanak. Kami disambut dengan kehadiran Polis yang agak ramai jam 11.30 pagi itu.
Kami juga nyatakan kesal dgn cara kasar(Dr. Surina) Ketua Jabatan Kelestarian IOI sehingga bertengkar. Hanya selepas kami meninggikan suara semula dan diterjah soalan - soalan yang dia sendiri gagal menjawab baru hendak ajak masuk ke pejabatnya untuk perbincangan lanjut. Sebelum itu semua wartawan dihalau keluar dari pintu lobi. Malah salah seorang delogasi SAMM hanya memegang telefon bimbit dia dengan kasar minta simpan dalam poket. 
Nampaknya ego dan sombong kapitalis besar seperti IOI amat menjengkelkan. Kami tinggalkan memorandum kami dan berlalu pergi.
27 September lepas di Rotterdam, Belanda minyak sawit IOI telah di halang kerana laporan mengenai pemusnahan/pembakaran hutan terbuka dan buruh kanak kanak tersebut. Selain IOI, TH plantation juga dilaporkan terlibat. Kaitan Tabung Haji ini lebih menyakitkan hati.
Negara malu mereka kutip untung...mereka kaya jerebu jadi acara tahunan rakyat biasa...

berikut dibawah ialah kenyataan rasmi SAMM mengenai penyerahan memorandum.
Kenyataan Media
10 Oktober 2016

Memorandum Bantahan Kepada IOI Group dan TH Plantation

Sebagai respon dan tanda sokongan terhadap usaha Greenpeace International, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah menghantar memorandum bantahan kepada IOI Group di ibu pejabat IOI Group.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil berat pendedahan laporan A Deadly Trade-Off oleh Greenpeace International yang mendakwa IOI terlibat dalam pemusnahan hutan besar-besaran dan penindasan hak pekerja termasuk penggunaan buruh kanak-kanak di Indonesia.

Pendedahan laporan ini dan aksi aktivis Greenpeace International di Amsterdam, Belanda telah mendapat perhatian media antarabangsa. IOI bukan sahaja telah mencabul alam sekitar dan hak pekerja di Indonesia malahan tindakan IOI ini turut mencemarkan nama baik Malaysia.

Sepanjang dua dekad kebelakangan ini, sektor peladangan telah memusnahkan hutan dan tanah gambut di Indonesia. Berjuta-juta hektar telah dimusnahkan untuk konsesi buah dan minyak kelapa sawit yang telah memberikan impak negatif kepada hidupan liar, iklim dan juga orang ramai.

Malaysia sebagai negara yang berjiran dengan Indonesia tidak terkecuali dalam menerima kesan akibat jerebu hampir setiap tahun. Malaysia pernah mengumumkan darurat bencana jerebu sebanyak tiga kali, yang pertama pada 19 September 1997 di Sarawak apabila bacaan IPU mencecah 600, 11 Ogos 2005 di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang apabila bacaan IPU melebihi 500. Yang terkini adalah pada 23 Jun 2013 di Muar dan Ledang, Johor apabila bacaan IPU melebihi 500.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menegaskan pendirian kami dan sekutu-sekutu kami daripada kumpulan-kumpulan anak muda di seluruh negara bahawa :

1. SAMM dan sekutu menyokong usaha Greenpeace International untuk melawan syarikat-syarikat pemodal besar yang telah memusnahkan alam sekitar dan menindas pekerja.

2.IOI perlu memulakan usaha untuk memastikan keseluruhan rantaian bekalannya tidak terlibat dalam apa jua aktiviti yang boleh memusnahkan hutan, memusnahkan tanah gambut, eksploitasi pekerja dan pencabulan hak asasi manusia.

3.IOI perlu memastikan syarikatnya, anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat sekutunya mematuhi amalan Polisi Minyak Sawit Yang Mampan.

4.TH Plantation yang disebut dalam laporan A Deadly Trade-Off sebagai tidak mempunyai polisi alam sekitar yang formal perlu merangka polisi pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, dan polisi perladangan yang mampan dengan segera sebelum meneruskan aktiviti perladangan. Lebih memalukan, bahagian alam sekitar dalam Laporan Tahunan 2015 TH Plantation langsung tidak menyebut mengenai pemuliharaan hutan.

5.TH Plantation sebagai anak syarikat Lembaga Tabung Haji, sebuah lembaga yang ditubuhkan oleh Kerajaan untuk menguruskan dana simpanan rakyat bagi mengerjakan Rukun Islam yang kelima, sepatutnya memahami adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang membawa maksud :

"Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." (Hadis riwayat Muslim).

6. Tindakan tidak bertanggungjawab TH Plantation ini telah menjejaskan reputasi Lembaga Tabung Haji, Malaysia dan Islam itu sendiri. SAMM menuntut penjelasan Lembaga Tabung Haji berhubung perkara ini.

Adalah diharapkan agar kesemua pihak-pihak yang berkepentingan dalam sektor perladangan kelapa sawit ini agar tidak sekadar memikirkan keuntungan sendiri semata-mata. Sebaliknya, lihat juga kepada kerosakan yang timbul terhadap alam sekitar, hidupan liar dan kesihatan berjuta-juta orang di rantau ini.

IOI, TH Plantation, Wilmar, GAR, Musim Mas dan lain-lain syarikat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab, bekerja bersama-sama, menggunapakai standard dan peralatan yang sama, untuk mengenal pasti dan menyingkirkan penyangak alam sekitar seperti yang telah dikenalpasti dalam laporan Greenpeace International tersebut.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments:

Post a Comment