Tuesday, July 19, 2016

Sanjeevan Di Tahan Di Bawah PoCA : Apa Yang Cuba Disembunyikan?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Kenyataan Umum
11 Julai 2016
Sanjeevan Di Tahan Di Bawah PoCA : Apa Yang Cuba Disembunyikan?
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hairan dengan tindakan menahan Pengerusi MyWatch, Datuk R. Sri Sanjeevan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PoCA) kerana dipercayai melakukan ugutan jenayah dan peras ugut. Penahanan Sanjeevan di bawah PoCA ini menimbulkan persoalan mengapakah beliau tidak di dakwa di mahkamah terbuka dengan segera?
Beliau telah pun ditahan oleh pihak Polis semenjak 22 Jun 2016, apakah Polis masih tidak mempunyai cukup masa untuk mencari bukti dan membina kes yang kukuh untuk perbicaraan di mahkamah terbuka? Adakah terdapat usaha-usaha untuk melindungi pihak-pihak berkepentingan yang terkait dengan sindiket kongsi gelap, perjudian dan pelacuran ini?
Tindakan tidak mendakwa di mahkamah terbuka ini akan menguatkan persepsi masyarakat berkaitan hal perlindungan kumpulan sindiket ini yang telah menjadi rahsia umum sejak sekian lama. Bahkan menurut laporan media, beliau ditangkap dengan sejumlah wang yang didakwa sebagai wang perlindungan hasil peras ugut jenayah tersebut.
Persoalan ini akan terus bermain di dalam minda masyarakat jika pihak berkuasa gagal untuk mendakwa Sanjeevan di mahkamah terbuka. Sama ada Sanjeevan benar-benar melakukan perbuatan jenayah tersebut, biarlah kebijaksanaan hakim untuk menilainya nanti.
SAMM juga berpandangan, pendakwaan Sanjeevan di mahkamah terbuka juga akan turut mengheret beberapa individu yang mungkin terlibat sama dalam aktiviti melindungi jenayah sindiket. Ia juga akan menjadi bukti keseriusan Kerajaan dan PDRM untuk memerangi aktiviti perjudian.
Dalam perkembangan yang sama juga, Malaysia mempunyai pelbagai akta untuk mengawal aktiviti perjudian “gelap”. Hingga ke hari ini, terdapat sebegitu banyak aktiviti perjudian “gelap” yang berlaku. SAMM sebelum ini pernah menerima begitu banyak “screenshot” mesej promosi judi secara maya yang dihantar kepada orang awam. Sepanjang tempoh kejohanan bola sepak EURO 2016 ini, jika kita membuat carian di aplikasi WeChat juga, kita boleh terjumpa dengan begitu banyak akaun pengguna yang menawarkan aktiviti judi bola sepak.
Ini menunjukkan bahawa kita masih lagi gagal untuk mengekang aktiviti perjudian “gelap” ini walaupun kita mempunyai pelbagai undang-undang. Sebaliknya, akta yang ada ini telah dimanipulasi oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab untuk memeras keuntungan peribadi.
SAMM dengan ini mendesak PDRM untuk mendakwa Sanjeevan di mahkamah terbuka dan memulakan usaha memerangi sindiket perjudian, kongsi gelap dan pelacuran dengan lebih serius.
Zulkifli Hj Ibrahim
Penyelaras SAMM Kebangsaan

No comments:

Post a Comment