Wednesday, July 27, 2016

PEMBANGUNAN PAYA INDAH WETLANDS BERISIKO TINGGI, KERAJAAN NEGERI PERLU DEDAH LAPORAN

KENYATAAN MEDIA
26 JULAI 2016
Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk mendedahkan semua laporan berkaitan keputusannya membenarkan status tanah Paya Indah Wetlands ditukar kepada "pembangunan" daripada "pertanian".
Semua rakyat Selangor terutama penduduk di sekitar Lot 68054 Mukim Tanjong Dua Belas Kuala Langat berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai pelan pembangunan yang dirancang dalam sessi penerangan yang juga boleh menjadi platform bagi mereka menyuarakan pendapat atau bantahan.
Orang awam juga berhak mendapat akses kepada semua laporan dalam apa jua bentuk terutama laporan penilaian impak sosial dan alam sekitar tanpa sebarang sekatan.
Akses awam penuh kepada semua laporan dan pelan pembangunan ini penting memandangkan kawasan terbabit bukan sahaja telah digazetkan sebagai hutan simpan warisan dunia malah ianya juga berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama bagi negeri Selangor.
Pembangunan luar kawalan di kawasan ini berisiko tinggi kerana jika berlaku sebarang bencana, kita bakal berhadapan dengan implikasi alam sekitar buruk yang besar terutama banjir dan pencemaran sumber air.
Hasil penelitian pelbagai unjuran risiko semasa berkhidmat sebagai Dato' Menteri Besar, saya yakin kata putus yang saya ambil untuk menolak permohonan penukaran status ini amat wajar, tanpa mengendahkan tekanan atau cubaan mempengaruhi keputusan oleh ramai pelobi korporat dan politik.
Rakyat maklum bahawa "pen sakti" yang dipegang oleh YAB Menteri Besar mempunyai kuasa besar untuk menandatangani mana-mana permohonan dan urusan berkaitan tanah. Namun, kuasa ini harus digunakan dengan penuh berhemah, telus dan bertanggungjawab serta berdasarkan adab dan tata kelola pentadbiran yang baik.
Dalam hal ini, saya menyeru agar Dato' Menteri Besar bersikap matang dan mengenepikan politiking keterlaluan kerana rakyat bukanlah pengemis tetapi pemberi mandat kepada wakil rakyat untuk memastikan aset negeri yang hakikatnya hak rakyat diurus sebaik mungkin.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
ADUN PELABUHAN KLANG

No comments:

Post a Comment