Thursday, April 28, 2016

PRN Sarawak : Azmin burukkan imej PKR

PETALING JAYA : Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu dipersalah kerana berlaku pertindihan enam kerusi antara parti itu dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Ahli PKR seumur hidup dan bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard membuat dakwaan itu kerana mendakwa Menteri Besar Selangor itu sudah bersetuju untuk menyerahkan enam kerusi tersebut kepada DAP.
Enam kerusi yang menyaksikan DAP dan PKR bertembung sesama sendiri ialah Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang, Murum dan Batu Kitang.
“Bila dia dah terperangkap, orang bawah marah dan sebagainya, dia perangkap Presiden keluar watikah (tandatangan surat kebenaran calon-calon PKR bertanding di enam kerusi) dan sebagainya.
“Padahal kamu (Azmin) yang dah bersetuju, kamu dah tandatangan dan dah terdedah dalam media sosial di mana jelas ada nota yang Azmin tandatangan yang menyerahkan kerusi kepada DAP. Maknanya kita mungkir janji, kita khianat.
“Yang menjadikan parti PKR itu khianat ialah Azmin Ali,” katanya kepada FMT, hari ini.
Semalam, media melaporkan Mohamed Azmin sebagai berkata, beliau diberi mandat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk ‘menyelesaikan’ pertindihan tuntutan kerusi itu.
Mohamed Azmin dikatakan mengarah Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian untuk mengeluarkan surat kebenaran kepada enam calon parti itu untuk bertanding.
Chegubard yang diketahui ‘tidak sehaluan’ dengan Azmin berkata, sudah tiba masa Pakatan Harapan dan PKR untuk menyelesaikan masalah Timbalan Presiden PKR.
“Dia (Mohamed Azmin) kena ambil tindakan, kalau tidak rakyat akan ketawa dengan Pakatan Harapan. Nak rampas Putrajaya macam mana, Sarawak pun kamu bertarabur.
“Kebenaran untuk bincangkan calon dan selesaikan kerusi bertindih tidak bermaksud kamu boleh arahkan dan beri kebenaran kepada Baru Bian keluar watikah. Ini menyalahi Perlembagaan parti.
“Jika PKR ada integriti dan mempunyai ketelusan, Azmin harus diambil tindakan disiplin segera,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, parti itu mengharapkan PKR dan DAP mencari jalan terbaik sebelum hari pembuangan undi agar ‘satu lawan satu’ berlaku.
“Saya yakin pemimpin DAP dan PKR berupaya melakukan yang terbaik untuk Pakatan Harapan di Sarawal dan Malaysia.
“Saua juga yakin penuh dengan fikiran waras jalan penyelesaian terbaik dicari supaya pakatan Harapan dapat merealisasikan harapan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/04/26/pertindihan-kerusi-chegubard-akui-pkr-azmin-salah/

No comments:

Post a Comment