Saturday, April 02, 2016

DEKLARASI RAKYAT – Mandela dan United Front dan Damage control ?

DEKLARASI RAKYAT – Mandela dan United Front dan Damage control ?
Saya dimotivasi untuk menulis ini setelah membaca tulisan tukar tuib yang cuba memaparkan deklarasi rakyat sebagai satu United Front dan juga mempunyai sedikit titik-titik persamaan dengan Gabungan Putera-AMCJA. Bagi anak-anak muda yang tergaru-garu dan kecewa mengapa orang yang mereka percaya selama ini radikal boleh dilihat bersama dengan Dr. Mahathir, maka tulisan tersebut disalut dengan nama, label dan slogan2 kiri untuk memaparkan keprogresifan atau sekadar cubaan mengubat bara dihati anak-anak muda.
Dari awal, saya mengambil pendirian antaranya tindakan bekerjasama dengan Dr. M bukannya sesuatu yang langsung tidak boleh dilakukan tetapi ia adalah tindakan terburu-buru dan individu-indivividu bersama kita gagal merunding satu deklarasi yang lebih kukuh kerana mereka hanyalah pemain pinggiran kepada agenda Dr. M; walaupun ada dikalangan mereka kini cuba meyakinkan kita bahawa mereka memang berjaya menyelit pandangan reformasi instutusi sistem dan sebagainya. JIka andaikata mereka memang mempunyai kataputus yang kuat (leverage), mengapa mereka tidak melakukan satu deklarasi yang lebih baik memandangkan ramai di kalangan mereka adalah aktivis matang, berpengalaman dan pernah tandatangani puluhan deklarasi hak asasi dan good governance sebelum ini.
Ada yang cuba mengambarkan rundingan ini sebagai ada persamaan dengan kerjasama Mandela dan De Clerk. Namun harus ditegaskan De Clerk bukan seperti Mahathir dimana De Clerk merupakan orang yang telah meminta maaf dan telah memainkan peranan utama untuk menamatkan Apartied. Beliau membebaskan Mandela dan menghalahkan parti ANC. Bukan seperti Dr. Mahathir dimana bukan sahaja beliau tidak meminta maaf tetapi beliau juga kecewa apabila Najib memansuhkan ISA.
Sekarang biarlah saya menerangkan konsep United Front. United Front bermakna semua pihak bersetuju dengan satu strategi bersama dan dalam contoh PUTERA-AMCJA, mereka telah melakukan pelbagai rundingan, perbincangan peringkat akarumbi sebelum dilancarkan. Mereka juga adalah organisasi-organisasi politik, Kesatuan Sekerja yang besar. Ini adalah kali pertama, saya melihat beberapa individu buat keputusan dan ia dipanggil United Front manakala UF di Negara-negara lain dibina oleh kumpulan dan organisasi, Bukan individu-individu yang melafazkan, saya masuk sebagai individu. Maka hujah seperti menunjukkan PUTERA-AMCJA dan deklarasi Rakyat ada persamaan adalah hujah kelakar.
Maka jika kita bedah siasat Deklarasi Rakyat, Deklarasi Rakyat bukan dibentuk oleh rakyat. Ia tidak disokong oleh Pakatan Harapan berdasarkan kenyataan PH. Pengerusi BERSIH melibatkan diri sebagai individu dan baru mahu mengadakan perbincangan dengan rakyat mengenai deklarasi ini (Town hall meetings). Wan Azizah, Presiden PKR mengatakan membebaskan Anwar akan menjadi satu tuntutan utama dalam Deklarasi Rakyat, Mukris pula mengatakan Deklarasi Rakyat adalah untuk menyelamatkan BN daripada tidak kalah dalam pilihanraya akan datang dan sebagainya. Maka apakah “UNITED” sangat dengan deklarasi ini. Sehari selepas deklarasi, pelbagai pandangan bercanggah hanya memberi keyakinan bahawa ia bukanlah satu keputusan yang dibincang masak-masak, secara menyeluruh atau pandangan jauh.
Oleh itu kepada individu-individu yang sekarang berusaha gigih membuat damage control, nasihat saya adalah jangan melakukannya keterlaluan seperti menggunakan ungkapan Mandela dan United Front kerana susah sangat untuk mempertahankan sesuatu yang bukan sebenarnya benar. Cukup jika dikatakan deklarasi itu belum lengkap dan perlu ada banyak kerja lagi. Ini saya rasa satu kenyataan yang lebih bertanggungjawab.
Kebenaran adalah Dr. Mahathir menetapkan tarikh, menetapkan tempat, menjemput individu, menulis 95% deklarasi dan pihak lain yang tandatangani tergesa-gesa masuk dalam gelengang, cuba buat sedikit pindaan dan akhirnya buat sidang akhbar. Bila orang jerit reformasi di akhir program, Dr. Mahathir senyum sahaja. Ia adalah agenda Dr. M. Mungkin orang macam Lim Kit Siang yang sebelum Dr. M pun sudah panggil untuk gabungan bersama, maka beliau jelas tetapi ramai yang lain hanyalah lompat dalam bandwagon, mereka malas membina gerakan mereka sendiri dan lebih oportunis. Sekarang disebabkan ide mereka dikritik kuat, maka setiap diantara mereka bertungkus lumus memberikan pengertian baru.
Untuk move forward, gerakan tidak boleh dibina “Top-down” iaitu beberapa individu buat keputusan untuk majoriti dan ide mereka cuba dijual dengan pelbagai cara. Balik kepada tukartuib, ia kita kena belajar dari PUTERA-AMCJA atau jika malas tontonlah sepuluh tahun sebelum merdeka oleh Fahmi Reza. Tetapi janganlah justifikasi dengan contoh yang tidak boleh pakai.
Ramai yang mahu Najib undur. Bagi mereka buat apa-apapun ok sahaja asalkan Najib undur. Namun sebagai aktivis , kita semua mempunyai tanggungjawab membina perubahan tulin supaya masa depan masyarakat lebih baik, adil dan saksama. Kita kena membina persamaan, perpaduan dan melibatkan rakyat majoriti dalam mencorak perubahan. Kerja ini mungkin lebih susah tetapi lebih baik dari menjadi pemain pinggiran dalam agenda orang lain. Rakyat adalah asset kita yang paling besar dalam membina perubahan. Marilah kita sama-sama mencari kerjasama dan muafakat yang lebih benar dan menyeluruh untuk pembebasan rakyat Negara kita. - arul

No comments:

Post a Comment