Saturday, March 05, 2016

Kenapa harus bergantung harap dengan Mahathir ?




Mahathir tokoh perubahan ? sebarang usaha mengaitkan mahathir
dengan reformasi ialah tindakan yang bodoh dan hodoh
Perkembangan mutakhir politik tanah air semakin bercelaru dan tidak memberangsangkan.
Sebagai gerakan anak muda yang peka terhadap polemik politik domestik, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mencetuskan kembali idea perubahan sistem di kala ramai watak-watak politik tempatan lebih gemar untuk bercakap soal menggantikan individu.
Najib dan kabinet Malaysia hari ini sememangnya berdepan krisis keyakinan dan integriti.
Akan tetapi, menukar seorang perdana menteri dengan seorang lagi politikus daripada Umno/BN tidak akan menghasilkan impak positif kepada negara.
Insiden menggulingkan Abdullah Badawi, diganti dengan Najib Razak telah membuktikan perkara ini.
Jangan kita lupa skrip dialog dan ayat yang sama juga digunakan oleh Mahathir Mohamad ketika keluar Umno, memperkudakan sentimen rakyat bagi menukar Abdullah yang gagal menjadi bonekanya.
Setelah berjaya, Mahathir kembali kepada Umno memeras rakyat.
Kelakuan segelintir oportunis pembangkang yang tiba-tiba bergantung harap kepada Mahathir dan Muhyiddin lebih merisaukan.
Oportunis pembangkang
Mahathir telah menyatakan bahawa beliau hanya meninggalkan Umno selagi Najib memimpin parti itu, manakala Muhyiddin lebih penakut apabila memilih untuk terus kekal dalam parti itu.
Lantas bagaimana kedua-dua politikus ini akan membantu pembangkang untuk melakukan pembaharuan sistem?
Kelakuan oportunis pembangkang ini hanya menyerlahkan sikap tamak kuasa dalam diri masing-masing.
Slogan 'Selamatkan Malaysia' hanyalah alat untuk mengolah pandangan rakyat semata-mata.
Pembangkang walaupun sudah menubuhkan Pakatan Harapan selepas pengkhianatan PAS masih gagal untuk membentuk persefahaman jitu antara ketiga-tiga parti.
Tambah kelihatan absurd apabila masih terdapat beberapa oportunis yang masih menjalin hubungan secara rasmi dengan PAS.
Ini pastinya akan melemahkan kepercayaan dan persefahaman Pakatan Harapan dan mengelirukan rakyat.
SAMM bersetuju bahawa Najib dan rejim Umno/BN ini perlu dijatuhkan dalam kadar segera tetapi menolak gerakan bersekutu dengan Mahathir mahupun Muhyiddin selagi mana mereka masih kekal dengan perjuangan sempit demi kuasa dan kedudukan peribadi dan kroni.
Pintu perubahan
Tumpuan semua pemain politik bukan Umno/BN adalah untuk perubahan sistem yang lebih tuntas.
Menjatuhkan rejim Umno/BN secara total adalah pintu kepada perubahan.
Tidak sepatutnya semua watak-watak lama yang menjadi punca kehancuran sistem diangkat dan dipuja sebagai jalan penyelesaian.
SAMM menggesa semua rakyat untuk bangkit bersatu. Sedarlah negara ini sedang tenat.
Desakan daripada rakyat harus bergema untuk memastikan satu kerajaan transisi yang dianggotai oleh semua pihak harus dibentuk dengan kadar segera untuk membaikpulih/menukar sistem dan polisi pemerintahan termasuklah memastikan sistem pilihan raya dapat berjalan dengan telus, bersih dan adil.
Sebuah pilihan raya umum harus diumum untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun sebaik sahaja penubuhan kerajaan transisi.
Jika hanya menukar Najib kepada sebuah rejim yang lain dengan sistem pemerintahan yang sama tanpa satu tempoh kerajaan transisi (sebelum pilihan raya baru), ia bukanlah usaha yang serius.
Ia sebaliknya hanyalah satu tindakan politik sempit untuk meraih kuasa semata-mata.

EDY NOOR REDUAN pengarah propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

2 comments:

  1. Salam tuan,

    Says setuju bahawa melibatkan Mahathir adalah kesilapan terbesar pembangkang. Selama ni kita duk lawan dia, tiba2 seronok je korang bersekongkol dgn dia. Muak la camni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous11:09 PM

      Betullah kau ni jawe. Apa kebende yang kau paham. Takkan nak harapkan chegubard bahlol kau ni. Abis orang tido kat atas jalan nanti. Politik kucing kurap chegubard kau ni lagi bagi rakyat melingkup

      Delete