Friday, August 14, 2015

Rethinking Merdeka – Negara Perubahan

Ramai yang menyatakan krisis hari ini bakal membawa Malaysia menuju ke arah “Failed State”. Namun, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat projek “Failed State” ini sudah bermula semenjak 28 tahun yang lalu dan krisis hari ini adalah antara kemuncak kemusnahan total sistem bernegara. Mengapa?
Tahun 1987, Mahathir telah membawa negara ini dalam Krisis Perlembagaan yang menyaksikan kuasa Legislatif dan Kehakiman ditarik. Kedua-dua cabang pengasingan kuasa ini telah menjadi layu seperti Harimau yang tidak bertaring. Kemudian, pada tahun 1994 pula, Mahathir telah mencipta permainan manipulasi untuk mengolah pandangan rakyat untuk mencabut kuasa Raja-Raja hingga menyaksikan berlaku satu lagi krisis Perlembagaan.
Kedua-dua Krisis Perlembagaan ini adalah asas “Failed State”. Dengan runtuhnya amalan Doktrin Pengasingan Kuasa, Eksekutif menjadi begitu berkuasa (Absolute Power). Dan ia berterusan sehinggalah hari ini. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Najib menikmati segenap inci kuasa yang telah diwariskan kepadanya. 
Segala institusi dalam negara pasca Krisis Perlembagaan itu hanya menjadi “Rubber Stamp” kepada kehendak Eksekutif. Pindaan Perlembagaan 1994 telah membataskan kuasa Yang Dipertuan Agong sehingga menjadikan Yang Dipertuan Agong seolah-olah perlambangan semata-mata. Tidak lagi mempunyai kuasa penimbal. 
Institusi Parlimen juga tidak bebas. Bagaimana mahu bebas jika Yang Dipertua Dewan juga dilantik atas ikhsan Perdana Menteri? Lihat saja bagaimana Dewan Rakyat dipergunakan semahunya apabila Eksekutif mahu meluluskan Rang Undang-Undang yang bersifat opresif. Ingat lagi Parlimen bersidang sehingga dinihari semata-mata Eksekutif mahu meluluskan POTA dan Akta Hasutan. Lebih lucu, saraan anggota Dewan juga ditetapkan oleh agensi di bawah seliaan cabang Eksekutif.
Kehakiman juga rakus digunakan oleh Eksekutif. Lihat apa yang berlaku dalam kes Anwar Ibrahim. Bukan sahaja itu, malah Eksekutif juga sangat berkuasa dalam hal pendakwaan dan penguatkuasaan undang-undang. Semua jadi tunduk kepada Eksekutif. Lihat kes Gani Patail dipecat dan juga bagaimana SPRM diganggu. Lebih keterlaluan Perkara 4, Akta 694, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 meletakkan perenggan perlantikan Ketua Pesuruhjaya dibuat oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Bukankah ini juga satu bentuk “absolute power” oleh Eksekutif?
Ia semakin melarat apabila rejim UMNO/BN mempergunakan sepenuhnya segala kelompongan dalam Perlembagaan Persekutuan, Keistimewaan Melayu dan keruntuhan struktur sistem pentadbiran negara ini untuk menyuburkan pula amalan Politik-Ekonomi Naungan. Setiap dasar yang digubal akhirnya sekadar mengukuhkan kelompok yang bernaung dengan kekuasaan sambil juga terus memperkukuhkan lembaga Eksekutif itu sendiri. Rakyat sekadar mendapat cebisan sahaja.
Atas kesedaran inilah, SAMM akhirnya tampil dengan idea Kerajaan Peralihan (Caretaker Government). Ramai yang berkata ia kelihatan seperti Unity Government, Konsensus Nasional dan Save Malaysia. Namun bagi SAMM, idea Kerajaan Peralihan ini tidak membawa maksud merebut kuasa sebaliknya lebih kepada untuk melakukan perubahan bagi meletakkan Malaysia kembali ke landasannya. Oleh sebab itu, SAMM meletakkan satu sela masa (time frame) tertentu supaya beberapa permasalahan yang dihadapi negara dapat diperbetulkan dan menyediakan Malaysia bagi menghadapi Pilihanraya yang adil dan bersih.
Mengapa perlu Kerajaan Peralihan bukannya perubahan Perdana Menteri sahaja?
SAMM tidak menyatakan tindakan atau kempen melawan Rejim Pemerintah sebagai sesuatu yang salah. SAMM tidak menyanggah perkara ini kerana SAMM sangat berpegang kepada kebebasan. SAMM tidak menghalang apa juga cara atau tindakan yang ingin diekpresikan sebagai melawan rejim. 
Dalam menuju sebuah negara yang progresif, SAMM memilih untuk tidak membawa pendekatan konservatif yang mencela, melabel atau menghalang satu tindakan atau pandangan. Setiap individu bebas dan berhak untuk mempunyai bentuk pemikiran dan pandangan sendiri. 
Atas nama kebebasan itulah, siapa saja bebas untuk berekspresi. Begitu juga, anda tidak harus menghalang SAMM untuk bergerak dan melahirkan pandangan sendiri.
Kerana itulah semenjak tiga bulan kebelakangan ini, SAMM secara serius telah menekankan idea menukar Perdana Menteri daripada kepompongan rejim yang sama tidak akan membawa Malaysia menjadi lebih baik. Malaysia amat memerlukan satu perubahan menyeluruh bagi memperbaiki kepincangan struktur pentadbiran negara. 
Pandangan SAMM ini juga selari dengan pandangan dua Profesor Sains Politik Asia Timur dari Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa menggantikan Perdana Menteri dengan pemimpin daripada UMNO/BN tidak akan memberikan apa juga kebaikan kepada Malaysia. Hakikatnya, Malaysia amat memerlukan perubahan sistem secara menyeluruh seperti yang pernah digariskan semasa gerakan Reformasi 1998 yang telah semakin dilupakan sebagai jalan keluar kemelut yang melanda hari ini.
SAMM berpendirian untuk menyelamatkan Malaysia, satu desakan ampuh dan kuat harus dilakukan untuk menukar rejim dan sistem bernegara berbanding menukar sosok individu dalam jalur kekuasaan.
Apakah Bentuk Kerajaan Peralihan Yang Didesak Oleh SAMM?
Kerajaan Peralihan (Caretaker Government) yang didesak oleh SAMM ini adalah merupakan satu kerajaan sementara yang terdiri daripada anggota Dewan Rakyat merangkumi wakil-wakil daripada kesemua Parti Politik yang ada di dalam Dewan tersebut. Kerajaan Peralihan ini akan beroperasi mengikut tempoh masa yang sesuai bagi tujuan menyelesaikan beberapa perkara yang mendesak. Tempoh masa yang dicadangkan adalah 18 bulan. Selepas itu, Kerajaan Peralihan ini wajib membubarkan Parlimen dan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih sebuah Kerajaan yang baharu.
Dalam tempoh masa Kerajaan Peralihan ini, SAMM menggariskan beberapa perkara yang dilihat agak kritikal untuk dirombak semula supaya Malaysia dapat diletakkan ke landasan yang sebenar. Perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Memulakan satu Suruhanjaya Peringkat Parlimen bagi menyiasat dan mengambil tindakan drastik terhadap setiap penyelewengan, salah urustadbir, korupsi dan penyalahgunaan kuasa yang telah berlaku selama ini.
2. Memulakan satu Suruhanjaya Khas Parlimen bagi memperbetulkan semua kepincangan demokrasi termasuklah mengembalikan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, memulihkan Doktrin Pengasingan Kuasa, Mereformasikan Institusi Parlimen dan juga Suruhanjaya-Suruhanjaya yang ada.
3. Mengambil tindakan afirmatif untuk menyediakan satu sistem Pilihanraya yang adil dan bersih termasuklah menilai semula dan meminda jika perlu Akta Suruhanjaya Pilihanraya, membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem undi pos, isu persempadan kawasan pilihanraya, kawasan lokaliti tanpa pengundi luar, dan sebagainya.
4. Mewujudkan kondisi kebebasan mewujudkan media – tidak lagi memerlukan permit penerbitan. 
5. Mengukuhkan kedudukan Suruhanjaya-Suruhanjaya sedia ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan sebagainya, dan meletakkan kesemua Suruhanjaya ini di bawah kuasa Parlimen serta melaksanakan method pemilihan anggota yang lebih demokratik. Hal ini juga perlu melebarkan kepada Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara. 
6. Mewujudkan satu akta dan mekanisme penyaluran Dana Politik bukan sahaja kepada Parti Politik malah lebih melebar kepada semua gerakan politik dan Organisasi Massa.
Selepas sahaja keenam-enam perkara ini diselesaikan dan dipulihkan, Parlimen hendaklah dibubarkan bagi membuka jalan satu pilihanraya umum dapat diadakan. Rakyat berkuasa untuk menentukan gabungan politik yang akan diberikan mandat untuk memerintah Malaysia.
SAMM berkongsi pengalaman teman-teman aktivis di Indonesia. Benar, mereka telah berjaya menurunkan seorang pemimpin diktator dalam sejarah mereka. Soeharto telah lama digulingkan. Benar juga Indonesia mula mengecapi nikmat kebebasan hak sivil warganya. Tetapi, dalam pertemuan antara SAMM dengan teman-teman aktivis Indonesia semasa lawatan kerja ke Jakarta sebelum ini, telah membuka satu sisi pandangan yang baharu. 
Selepas 17 hingga 18 tahun berjuang, mereka masih lagi gigih berusaha untuk membawa reformasi dan perubahan dalam sistem bernegara di Indonesia. Masih lagi bergelut dengan struktural pentadbiran negara legasi Soeharto. Kerana jalan perubahan mereka ketika itu tidak dipersiapkan sepenuhnya. Akhirnya Soeharto digantikan oleh sosok pemimpin lain yang tidak cakna dengan tuntutan reformasi dari rakyat.
Ramai juga yang bertanya sejauh mana SAMM yakin idea Kerajaan Peralihan ini dapat direalisasikan? Adakah dalam tempoh terdekat ia dapat direalisasikan?
SAMM sentiasa optimis dan yakin bahawa ramai rakyat di luar yang mengimpikan sebuah harapan baru untuk negara ini. Pastinya ramai yang selama ini mendambakan sebuah Kerajaan Rakyat – “Government of the people, by the people, for the people”. Persoalan yang lebih besar yang perlu dijawap adalah jika semua pihak duduk diam tanpa bergerak untuk mengolah perubahan yang menyeluruh, negara ini tidak akan bergerak ke mana-mana. 
SAMM tidak meletakkan ukuran tempoh untuk direalisasikan tetapi iltizam SAMM adalah untuk membawa tema Negara Perubahan ini ke segenap sudut negara. Rakyat perlu diberikan kefahaman dan pencerahan pendidikan politik. SAMM sangat percaya jika semua pihak berkepentingan, dari parti politik kepada gerakan sivil kepada organisasi massa kepada rakyat keseluruhannya mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk memperbetulkan kepincangan sistem yang telah berlaku ini maka, Malaysia pastinya mempunyai harapan masa depan yang cerah.
SAMM sangat berpegang bahawa hari ini Malaysia amat memerlukan pembaharuan. Apa pun konotasinya sama ada Reformasi, Transformasi atau Pembaharuan, ia harus datang dengan komitmen, iltizam dan usaha gigih untuk membebaskan Malaysia daripada sistem politik, Naungan dan Keuntungan. SAMM juga bersedia untuk meneroka jalan yang menongkah arus, di luarkekuasaan popular, dan bersedia untuk membawa jalur pemikiran dan suara minoriti merintis jalan perubahan bagi memperbetulkan sistem kekuasaan yang diwarisi selama ini.
Pemikir Kaum Muda SAMM akan mula mengeluarkan siri artikel mengenai Tuntutan Negara Perubahan selepas ini dan mengalu-alukan sekiranya anda juga mempunyai pandangan, impian dan harapan ke arah meletakkan Malaysia ke landasan sebenar. Semua tulisan pandangan, impian dan harapan anda boleh dihantar terus melalui email di pkm.samm@gmail.com. Ayuh anak muda, salurkan idea dan pandangan anda ke arah membina Malaysia yang lebih baik. 
Ahmad Anwar Asyraf

Pengarah Pemikir Kaum Muda SAMM

No comments:

Post a Comment