Saturday, August 08, 2015

Apa dia kempen #sudahlahMahathir

Apa dia kempen #sudahlahMahathir

Sebut sahaja Malaysia pasti nama Mahathir (Dr.M) tidak akan dilupakan. Ia watak penuh warna dan istimewa dalam perjalanan sejarah negara Malaysia Moden. Lahir 1925, bapanya imigran berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dari Kerala, India. Tahun 1957 tahun Malaysia merdeka dia membuka Klinik sendiri di Alor Setar, Kedah. Setahun sebelum itu (1956) berkahwin dengan Siti Hasmah dan dikurniakan 7 orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar. Dr. M memasuki politik dengan menyertai Umno sejak ditubuhkan 1946. 1969 beliau bertembung pendapat dengan Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia Pertama) yang ketika itu Presiden Umno. Dr.M kalah PEMILU 1969 dan kemudian menulis surat terbuka kepada Tunku hingga membakar sentimen perkauman dan menjadi antara punca trajedi perbalahan kaum 13 Mei yang menyebabkan bukan sedikit kematian. Beliau dipecat dari Umno tetapi kerana suasana kecoh yang dia antara penyebabnya akhirnya menjatuhkan Tunku Abdul Rahman.

1972,Dr. M setuju masuk semua Umno setelah Perdana Menteri Kedua Malaysia ketika itu Abdul Razak Hussien (bapa Najib) menawarkan jawatan bergaji besar selaku Pengerusi Lembaga Perindustrian Malaysia (FIMA) yang kemudian beliau dilantik senator dan kemudian Menteri Pelajaran. 1981, sejarah merakamkan bagaimana Dr.M menggunakan perbagai cara memberikan tekanan kepada Hussien Onn (Perdana Menteri Malaysia ke 3) untuk akhirnya berhenti dengan alasan kesihatan. Sejak 1981 sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak dinafikan banyak membawa pembangunan tetapi tidak perlu diketepikan begitu sahaja kemusnahan sistem negara yang beliau asaskan.

Menyelak sejarah dari Zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah ke yang terbaru era Datuk Seri Najib Tun Razak peranan Dr.M sentiasa terakam. Persoalan yang paling penting ialah apa peranannya dan kepentingannya dalam menjatuhkan semua pemimpin tersebut  ?

Kini sekali lagi Dr. M bersuara dengan keras dan lantang diikuti dengan Tun Daim dan diiringi oleh juak juak pengampunya atau yang terpesona dengan kritikannya.

Jujur dari penelitian banyak pihak, Najib Razak sukar untuk bertahan bagi menghabiskan penggal ini jika gagal menangani kritikan keras yang diterokai oleh Dr.M ini. Umum tidak boleh lupa ketika era Najib menjadi PM bukan sekali dia melontar kritikan kepada Najib. Dr. M bising dan kemudian senyap. Ini berulang beberapa kali.  Pasti kita tertanya mengapa ?

Kita harus tidak lupa Dr.M lah yang menamakan Abdullah Badawi sebagai penggantinya walaupun kritikan ketika itu Abdullah ialah pemimpin paling lemah dalam kabinetnya. Namun kelemahan Abdullah inilah mungkin menyakinkan Dr. M bahawa Abdullah boleh menjadi Perdana menteri boneka yang baik. Malangnya baru sahaja Abdullah menjadi PM,  Khairy Jamaluddin (kini Ketua Pemuda Parti Umno) telah berkahwin dengan anak Abdullah. Kemunculan Khairy ini yang telah mengawal Abdullah. Kerana Abdullah mula gagal menjadi boneka baik maka Dr. M muncul mengkritik Abdullah dan memberikan tekanan tanpa henti  sehingga Abdullah dimalukan terbuang dari puncak kuasa sebegitu rupa. Namun dalam era Najib Razak ia berbeza kerana ia kelihatan Dr. M bising dan senyap, kemudian bising dan senyap dan kini bising semula dengan lebih garang.  Ini kerana mungkin Najib belajar banyak dari Abdullah. Ketika di era Abdullah Badawi , Dr. M langsung tidak dipedulikan penasihat Abdullah ketika itu yang dikatakan kelompok muda yang diberikan kedudukan istimewa di kepalai menantunya Khairy yang mengambil pendekatan bermusuh dengan Dr.M.  Najib berbeza, dia memberi laluan banyak kepada Dr.M  termasuk menjadikan anak Mahathir sebagai Menteri Besar.  

Apabila Dr.M bising Najib beri maka Dr.M diam sekejap, begitulah berulang kali tetapi sampai bila pentadbiran negara hanya berkisar kepada memuaskan hati Dr.M dan kawan – kawanya semata. Jika Dr.M dilayan maka tak ada rasuah atau salah guna kuasa, itu teorinya.


Jika Dr.M nak bercakap soal kronisma dan peluang, soalnya berapa ramai anak Melayu diberi peluang menyapu berbilion (ada mengatakan angka menjangkau RM3billion) projek dibawah Petronas seperti anak Dr.M dapat. Antaranya Mokhzani yang sangat kaya kerana mendapat projek Petronas. Tanpa membela apa yang berlaku dalam 1MDB tetapi Dr.M juga perlu menjawab bagaimana dia menggunakan kuasanya melahirkan IPP yang dilihat lebih merupakan kini skim pencen kepada dia dan kawan – kawanya. IPP kini menjadi punca antara masalah besar pengurusan subsidi dan industri tenaga dalam negara. Di mana ketika memerintah Dr.M telah menandatangani perjanjian dengan kawan – kawanya untuk mewujudkan Independent Power Plant (IPP) yang menjana kuasa elektrik dia memewajibkan syarikat pembekalan elektrik tunggal Malaysia iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) membeli dengan harga mahal dan perjanjian tersebut juga mewajibkan Negara terus memberikan subsidi bahan bakar kepada syarikat kawan – kawan Dr.M tersebut. Hari ini Negara berdepan masalah kewangan. Subsidi bahan api ditarik dari rakyat tetapi terpaksa terus menanggung subsidi kepada kawan – kawan Dr.M kerana perjanjian gelap yang dia tandatangani dahulu. Itu belum sebut perjanjian gelap dengan syarikat konsesi lebuhraya bertol dan lain lain cabang perniagaan yang sehingga kini dikuasi kroni dan proksi Dr.M
Rakyat tidak harus lupa antara sebab Anwar dipecat ialah kerana selaku Menteri Kewangan ketika itu Anwar tidak mahu guna dana Negara untuk bail out anak Dr.M. Selepas Anwar dipecat Dr.M lantik diri sendiri jadi Menteri Kewangan dan tindakan pertama selaku Menteri Kewangan ialah bail out anaknya. Anaknya Mokhzani Mahathir seorang peniaga yang gagal kini punya berbilion harta dan kereta mewahnya saja BUGATTI VEYRON dinilai RM10j dan koleksi kereta mewahnya pernah didedahkan bernilai RM36j kini. Itu belum menyebut anaknya yang lain. Dr.M kemudian luluskan berbilion projek penswastaan kesihatan yang antara menikmatinya ialah anaknya. Mukhriz yang kini Menteri besar kedah pernah menikmati kontrak pembekalan mewah kabel fibre optic Negara.
Dr.M bercakap soal rasuah dan kehilangan dana Negara ? Bary Wain, Editor Wall Steert Journal sebuah majalah yang kini dijadikan rujukan Dr.M, pernah menulis dalam Bukunya Malaysian Maverick dengan menyatakan sejak 1981 – 2003 sekurang kurangnya USD40b telah dilesapkan oleh Dr.M

Yakinlah kini pula Dr.M akan diam jika Najib menurunkan RM3B kepada beliau yang kini menjadi kepala kepada Proton. Persoalanya kenapa negara perlu terus sakit kerana projek idea gagal Dr.M yang menjerut negara ini ? Proton bukan lagi Govt.link Company (GLC) negara pun, Proton kini dimiliki oleh salah seorang proksi Dr.M sendiri. Daim pun akan diam jika bank di Tanzania miliknya dibeli oleh Kerajaan Malaysia dengan harga yang dia tetapkan. Yakinlah puak puak ini akan diam jika semua kehendak mereka dipenuhi.
Anak Mahathir kini mula mengambil alih saham beberapa syarikat yang dikenali kroni Dr.M. Mokhzani kini sudah menjadi antara Pengarah syarikat Maxis milik Ananda Krishna (kroni Dr.M). Umum perlu sedar yang wujud selama ini kita panggil kroni Dr.M bukan kroninya tetapi kebanyakan ialah proksinya, Dr.M akan diam jika Najib selaku Menteri Kewangan membantu melancarkan proses pengambil alihan harta atas nama proksi tersebut kepada kaum keluarganya.

Menyelurusi sejarah Dr.M lah yang telah menjahanamkan banyak aspek negara. Jangan lupa bagaimana dia memulakan kecelaruan dengan melakukan pindaan perlembagaan beberapa kali, dialah yang memperkosa sistem kehakiman dalam memenuhi nafsu politiknya, dialah yang yang memulakan banyak tradisi kecelaruan dalam negara. Dia menggunakan istana bila diperlukan dan menghina Istana bila kuat dan bertembung kepentingan. Dialah yang banyak menggadai kepentingan Melayu sebaliknya dialah yang menggunakan nama Melayu bila mendepani musuh politiknya walaupun dia sendiri bukan Melayu kerana jelas bapanya ialah imigran dari Kerala, India.

 Tanpa menafikan sumbanganya pada negara tetapi dia juga terbeban dengan banyak punca kemusnahan dalam negara. Sekarang dia mahu game Im holier than you. Mahathir tidak layak !

 Ketika era pemerintahan Dr. M, ramai anak Malaysia berpotensi besar dijahanamkan kerana bertembung dengan nafsu kepentinganya. Sekadar menyebut beberapa nama Tan Sri Ani Arope (bekas Pengerusi TNB) antara pemikir bijak tersingkir dari kedudukan penting hanya kerana mempertahankan kepentingan rakyat menolak IPP dan jelas kini IPP menjadi antara masalah utama Negara. Tun Salleh Abas antara Hakim yang integriti tinggi mempunya penghormatan diperingkat antarabangsa tetapi disingkir hanya kerana nafsu politik Dr.M. Itu belum masuk cendiakawan yang akhirnya mencipta nama diperingkat antarabangsa tetapi meninggalkan negara hanya kerana tidak sebulu denganya. Jika disenaraikan jawatan kecil dan besar jumlahnya pasti beribu. Ini kerugiaan tidak berganti.

Zaman Mahathirlah politik jijik termasuk menyerang peribadi seteru politik dengan cara paling hina berlaku. Anwar Ibrahim sangat memahami perkara ini kerana dialah mangsa buli politik paling kejam dalam sejarah negara yang dibawa Dr.M. Dr.M tak layak bercakap soal demokrasi sejarah merakamkan bagaimana ketika pemilihan Umno 1987, dia dilawan oleh Tunku Razalight jawatan Presiden namun lampu dipadamkan ketika kiraan undi. Dia menang menipu dan kemudian mahkamah mengharamkan Umno sebelum dia mewujudkan semula Umno Baru.
Pembangkang khususnya Pakatan Rakyat mungkin kini sedang berseronok menggunakan isu Dr.M menyerang Najib. Ramai yang memikirkan, mereka menggunakan Dr.M dalam menjatuhkan Najib. Tetapi mereka tidak sedar hakikatnya Dr.M yang sedang menunggang mereka bagi melengkapkan nafsu rakusnya di hujung usia. Ini sememangnya skill politik  Dr.M ketika mahu melengkapkan percaturan politiknya dia akan menggunakan apa saja termasuk musuhnya. PAS ketika Tunku Abdul Rahman pecat Dr.M dari Umno , bangga Dr.M menggunakan pentasnya menyerang Tunku tetapi ia hanya sementara selepas lengkap cita citanya maka PAS kembali digodam. Ketika menyerang dan membunuh di Memali (tidak lupa juga tahanan ISA dan pembunuhan Lubuk Merbau) adakah Dr.M ingat dia pernah menggunakan pentas PAS?  Sukar untuk memahami bagaimana kelompok yang pernah menggelar diri Dr.M sebagai Mahafiraun (gelaran ketika Reformasi 1998 selepas pemecatan Anwar) dan watak-watak yang samalah kini melayan Dr.M seolah sangat (Maha) suci

Ingat kita pernah menyerang Abdullah Badawi bersama Dr.M, hasilnya Abdullah disingkirkan tetapi selepas Abdullah disingkirkan sebuah gerakan anak muda (SAMM) muncul membuat laporan rasuah ke atas semua tuduhan rasuah dan salah guna kuasa yang Abdullah, anaknya, keluarga serta menantunya lakukan seperti yang Dr.M juga munculkan namun tidak ada tindakan serta Dr.M juga tidak minat menyokong kerana perhatianya bukan untuk menyelamatkan harta rakyat atau membersihkan rasuah tetapi menjatuhkan Abdullah yang gagal menjadi bonekanya dan menaikkan Najib yang walau ketika itu banyak protes ke atas lantikanya namun Dr.M anggap Najib yang bermasalah dan tidak porpular mampu menjadi bonekanya dengan baik.  

Yang pasti, selepas kejatuhan Abdullah dan ditukar seorang lagi mengikut telunjuk Dr.M maka Umno (sila baca kelompok Mahathir khususnya Daim dan kuncu) terus kukuh dan Pembangkang  terus dihimpit. Kenapa perubahan total masih tidak diperolehi ? Ia kerana imej perubahan itu diterajui oleh Dr.M dan kelompoknya, pembangkang hanya mengikuti dari belakang. Jika sekali lagi kita terperangkap diperkuda Dr.M untuk pusingan kali ini maka gabungan parti pembangkang hanya layak sekali lagi selaku pembangkang yang kuat. Pembangkang harus berdepan dengan Najib dalam pilihanraya akan datang, membongkar kebobrokan dan mengutara cadangan pembaikan berterusan…tetapi perlu berhati – hati jangan diperkuda Dr.M dengan melupakan dosa -dosanya pada negara.


Yakinlah masalah dalam negara tidak akan selesai selagi Dr.M masih dilayan sebagai watak istimewa dalam negara ini.

 Saya bercakap soal kepentingan kelansungan negara ini. Inilah masanya paling sesuai semua pihak bersatu khususnya mangsa politik Dr.M bagi menghentikan kerakusan beliau.

Pasti akan ada yang berkata itu sejarah dosa silam dan juga ketika era Dr.M kita tak sesusah begini. Jawapanya ia bukan hanya berkisar kisah silam tetapi mengenai tuntutan terkini Dr.M dan kuncunya yang tidak dipenuhi tanpa mempedulikan kesusahan hari ini ialah hasil sumbangan keborosan, kerakusan dan korupnya legasi yang Dr.M  wariskan. Hasil sumber Negara hampir habis dipunggah ketika zamanya secara melampau. Dr.M dihujung era pemerintahanya bukan sedikit bon Negara terjual ke pihak asing yang menjadi tanggungan kita semua sehingga kini.

 Adakah kempen ini membela Najib ? Dr.M menyerang Abdullah. Ya, Abdullah salah dan kita sama – sama sambut serangan Dr.M terhadap Abdullah. Kemudian Abdullah jatuh, Adakah selesai masalah negara dan rakyat ? Adakah pendakwaan dibuat terhadap Abdullah, Khairy (watak antagonis jahat ketika itu) dan keluarga atas 1001 tuduhan dan bukti yang dibawa Dr.M sendiri ? Jawapanya tidak tetapi yang pasti Dr.M dan kuncunya terus mengukuh kuasa. Mereka hanya ingin menyelamatkan kekuasaan supaya tidak kalah ditangan rakyat kerana jika tersungkur ditangan rakyat bukan sahaja Abdullah atau Najib tetapi Dr.M dan kuncu – kuncunya bakal mendiami penjara.

Menyerang Dr.M  bukan membela Najib. Biarkan Najib berdepan tindakan undang – undang, biarkan Najib berdepan dengan rakyat dalam PRU nanti. Najib tidak akan terlepas untuk perlu menjelaskan mana perginya RM42B wang rakyat yang diperkatakan. Najib tidak akan terlepas menjawab keborosan keluarganya.

Dr.M bijak dari awal karier politiknya menggunakan kesempatan untuk kepentingan peribadinya, kempen #sudahlahMahathir ini ialah untuk menyedarkan rakyat yang harus disenyapkan dulu ialah Dr.M itu sendiri.

Malaysia seharusnya sedar yang perlu di ubah bukan sekadar individu, bertukarlah siapa juga PM masalah sama pasti berulang. Tetapi yang harus diubah ialah system yang rosak. Malaysia harus punya Ketua Suruhanjaya Pilihanraya, Ketua Suruhanjara Hak Asasi Manusia, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Peguam Negara, Ketua Hakim yang dipilih melalui proses yang melibatkan masyarakat sivil dan diletakkan dibawah kuasa parlimen bukan hanya dinamakan oleh Perdana Menteri. Jika lantikan semua institusi ini terus dikawal Perdana Menteri dan siapa pun Perdana Menteri dia berpotensi mengulang kerakusan yang sama.

Sebuah gerakan sivil, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencadangkan bagi mendepani krisis Negara ini iaitu perlunya semua pihak berjiwa besar dan meletakkan kepentingan Negara di depan.

Jika kita akui pendedahan Wall Street Journal itu betul maka disebut juga wang yang masuk itu untuk urusan dana Pilihanraya membantu Umno-Barisan Nasional berdepan pilihanraya. Maka RM2.6b ialah jumlah yang sangat besar jika dibahagi dengan 222 kawasan parlimen yang dipertandingkan maka Barisan Nasional melakukan kesalahan akta pilihanraya Malaysia dengan perbelanjaan wang berlebihan had dan dengan sumber yang haram.
Maka isunya bukan Najib semat,a sebaliknya kemenangan pilihanraya Muhyiddin, Zahid, Shafie malah kemenangan semua calon Barisan Nasional ialah kemenangan haram. Maka kita dalam satu krisis keluhuran undang – undang yang serius.

Untuk mendepani ini Kerajaan harus dibubarkan dan diambil alih oleh sebuah ‘caretaker govt.’ yang dianggotai oleh semua parti politik untuk tempoh masa maksima 18 bulan. Dalam masa itu ‘caretaker govt’ ini seharus mendepani krisis kewangan, krisis kepimpinan yang didepani Negara kini. Perlu ada pengukuhan dalam merombak undang – undang bagi merobah system yang rosak dan mudah dimanipulasi selain dari mempersiapkan Negara untuk ada sebuah pilihanraya yang bebas dan adil.

Percaya dan yakinlah ahli politik yang berfikir pendek dan korup pasti tidak akan bergerak kea rah penyelesaian tuntas ini. Mereka pasti lebih selesa bekoalasi dengan siapa saja hanya kerana kuasa. Maka inilah masa masyarakat sivil bertindak. Perlu ada gerakan besar – besaran mendesak agenda besar ini. Bukan sekadar berhimpun untuk menurunkan individu semata – mata. Malaysia sudah diambang kehancuran, kita sudah tidak punya banyak masa.

Saya merayu untuk ini difahami semua.

Tulisan : che’GuBard (cB) atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin (36 tahun) yang merupakan pengasas sebuah gerakan sivil muda di Malaysia yang dikenali sebagai SAMM yang berusia 11 tahun sudah. Mula bersama gerakan massa sejak 1998 berpengalaman ditahan dan dilokap 36 kali sejak mula bersama menggerak masa dalam perbagai isu membela rakyat melawan regim.  Panik dengan idea keras kempen ini maka Dr.M dalam satu majlis terbuka , di atas pentas didepan umum telah memanggil cB sebagai ‘Kucing Kurap’

Handphone : +60176688404
fB : Badrul Hisham Shaharin
fan page fb : cheGubard

Web rasmi SAMM : www.anakmudamalaysia.com
fB rasmi SAMM : Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments:

Post a Comment