Thursday, August 01, 2013

Al Quds – Kaji Semula Sokongan Negara Terhadap Resolusi Tempang PBB

Menjelang hari Al Quds, Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan, Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar – SAMM Muar menyeru agar seluruh umat Islam Malaysia bersatu menyatakan desakan kita kepada Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula sokongan negara terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas perang saudara di Syria.

Walaupun SAMM Muar tidak pernah sesekali menyokong kekejaman rejim Basyar Al Assad dalam menangani kemelut politik dalam negaranya namun ia juga tidak bermaksud SAMM Muar menyokong kefasadan gerakan penentang yang ditunjangi oleh Free Syrian Army (FSA). Kekejaman dan penggunaan senjata berat oleh rejim Basyar Al Assad dalam mempertahankan pemerintahannya bukanlah satu norma yang boleh diterima, begitu juga dengan kekejaman penentangnya seperti yang terkandung dalam sebuah video bagaimana tentera penentang melahap hati tentera rejim Basyar yang mati dibunuhnya juga merupakan sesuatu yang jelik.

SAMM Muar melihat krisis Syria kini bukan lagi satu siri kebangkitan rakyat menentang kezaliman pemerintah sebaliknya telah ditunggang oleh Amerika Syarikat-Israel dan sekutunya dalam memusatkan kuasa politik mereka di rantau berkenaan.

Pendedahan Agnes-Mariam de la Croix seperti yang ditulis oleh Nile Bowie dalam artikel bertajuk Is Malaysia taking the right stance on Syria? sewajarnya menjadi satu helaian baru dalam kita menilai semula sokongan kita terhadap resolusi PBB itu.

Artikel tersebut telah mendedahkan bahawa penentang-penentang rejim Basyar Al Assad telah ditaja oleh Amerika Syarikat, England, Peranchis, Arab Saudi, Qatar, Turki dan Israel. Malahan, artikel tersebut turut mencatatkan bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya merupakan penyumbang terbesar kewangan dan kelengkapan kepada kumpulan penentang bersenjata di Syria. CIA turut dikatakan masuk campur dalam mengkordinasi pengedaran senjata, bantuan dan kelengkapan kepada tentera penentang.

Amerika Syarikat dan sekutu mula menayangkan skrip yang sama sewaktu mereka merancang untuk menyerang Iraq iaitu Senjata WMD turut digunapakai oleh rejim Basyar Al Assad namun, menurut Penyiasat WMD PBB, Carla De Ponte, senjata WMD hanya digunakan oleh tentera penentang rejim Basyar Al Assad. Dua serangan bom oleh Israel juga menjadi satu lagi bukti kewujudan kuasa asing dalam krisis Syria ini.

SAMM Muar sependapat dengan kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS akan kewajaran kuasa besar dalam menilai bantuan mereka terhadap krisis di negara teluk itu iaitu survival negara haram Israel dan penguasaan mereka kepada sumber petroleum bukannya kepentingan rakyat negara-negara Arab dalam konflik berdarah seperti di Syria ini.

Jalan penyelesaian yang kukuh bukanlah meletakkan Syria terus dalam kancah peperangan dengan kita bersama merelakan campur tangan Amerika Syarikat-Israel dan sekutu dalam aspek ketenteraan penentang rejim pemerintah.

SAMM Muar menyokong kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa perbedaan mazhab harus dibincang secara ilmu oleh ilmuwan yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, bukannya diserah kepada yang jahil. Perbezaan kebangsaan atau sempadan negeri boleh diselesaikan dengan baik sekiranya umat Islam kembali kepada ajaran Islam dan tidak bersekongkol dengan kuasa besar dunia semata-mata.

Sekali lagi, SAMM Muar menegaskan bahawa walaupun ketika ini sokongan rakyat Syria terhadap rejim Basyar Al Assad agak ramai namun ia bukanlah tiket sokongan global terhadap perilaku ganas dan tidak bertamadun dalam menghadapi kebangkitan rakyat . Begitu juga dengan kekejaman oleh tentera penentang tajaan Amerika Syarikat-Israel dan sekutu tidak patut ditutup sebelah mata sahaja. Segala kezaliman dan perilaku ganas tidak boleh dibiarkan berakar umbi di dunia ini.

SAMM Muar senada dengan pandangan Nile Bowie dan Dr. Chandra Muzaffar berkaitan sokongan Malaysia terhadap resolusi PBB berkaitan Syria. SAMM Muar menyeru agar Kerajaan Malaysia segera mengkaji semula sokongan terhadap resolusi “tempang” PBB berkaitan Syria. Malaysia seharusnya menjadi negara ke 60 yang bersikap berkecuali dalam isu krisis Syria selepas Indonesia, India, Afrika Selatan, Brazil dan 54 negara lain.

SAMM Muar turut menyatakan sokongan terhadap Solidariti Hari Al Quds oleh umat Islam seluruh dunia. Hentikan perang terhadap negara Islam dan juga terhadap mana-mana negara. Semoga keamanan dunia ini akan terus terpelihara.

No comments:

Post a Comment