Sunday, April 08, 2012

Ucapan Setiausaha PKR Rembau mengimbai sejarah parti di hari keADILan

SAMBUTAN 13 TAHUN PARTI KEADILAN
4 April 2012, Rembau, Negeri Sembilan

Dibaca oleh Sdr Norazizi - Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau

1. Sidang hadirin yang dihormati sekalian, pada hari ini kita amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana hari ini merupakan ulangtahun yang ke 13 kelahiran Parti Keadilan yang dilancarkan secara gilang gemilang di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada 4 April 1999.

2. Setelah DSAI dipecat pada 2 September 1998 dan akhirnya ditangkap pada 20 September 1998, rakyat secara besar-besaran turun ke jalanraya mengadakan demonstrasi menentang kezaliman.

3. Pada peringkat awal tiada sebarang usaha ketika itu untuk menggerakkan sebuah landasan atau “platform” politik untuk menyatukan kesemua pejuang-pejuang reformasi yang menuntut keadilan.

4. Sejarah Parti Keadilan bermula apabila sekumpulan anak muda mengadakan perbincangan pada 2 Oktober 1998 di Hotel Allson Klana Resort, Nilai, Negeri Sembilan menyarankan untuk melahirkan satu wadah politik yang baru untuk menggabungkan kesemua pendokong reformasi dibawah satu parti yang sah. Satu wadah politik baru perlu untuk menampung kepelbagaian latarbelakang pendokong-pendokong reformasi dari pelbagai kaum dan pelbagai bangsa.

5. Pada 18 November 1998, di Pejabat Cenpeace, Petaling Jaya, satu mesyuarat khas telah diadakan yang dihadiri oleh Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Tuan Haji Mohd Anuar Tahir, Puan Hajah Marina Yusuf, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek, Puan Nurul Izzah Anwar dan Sdr. Norazmi. Perbincangan lebih memfokuskan untuk bagaimana menyatukan perjuangan pendokong kebenaran dan keadilan.

6. Di dalam mesyuarat ini, Dr. Mohamad Rafie mencadangkan untuk melahirkan satu parti politik yang sah sebagai landasan untuk pendokong-pendokong reformasi. Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menyatakan ia amat sukar dilakukan kerana sudah pasti pemerintah tidak akan meluluskan pendaftaran sebuah parti baru.

7. Sebagai satu perancangan yang strategik, Dr. Mohamad Rafie menyarankan supaya usaha dibuat untuk menubuhkan beberapa buah parti baru tetapi ia akan hanya sebagai satu “camouflage”. Usaha sebenar adalah untuk mengambil alih sebuah parti politik yang “dormant”. Mesyuarat bersetuju diatas saranan ini dan Tuan Haji Mohd Anuar Tahir telah diamanahkan untuk menyelaras untuk merealisasikan matlamat ini.

8. Pada malam ini, kita amat berbesar hati tiga orang yang terbabit untuk menubuhkan tiga parti baru yang sehingga kini masih tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan hadir bersama-sama kita.

a. Dr. Mohamad Rafie Bin Ab Malek
Presiden Penaja, Parti Malaysia Baru (PMB)

b. Sdr. Norizam Yasin
Presiden Penaja, Parti Himpunan Angkatan Keadilan (HAK)

c. Sdr. Suhaimi Salleh
Setiausaha Agong Penaja, Parti Angkatan Reformasi Malaysia (ARM)

9. Usaha penubuhan tiga parti baru ini telah mendapat liputan meluas media perdana dimana matlamat yang sebenarnya telah berjaya iaitu sebagai usaha “camouflage” kerana di dalam masa yang sama usaha secara rasmi telah dibuat untuk mengambil alih Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) dengan mengadakan Persidangan Agung Tahunan untuk menukar Presiden asal Tuan Haji Abdul Wahab Yunus beberapa individu yang tidak dikenali terbabit di dalam politik dan hanya bertindak dengan menggunakan nama-nama mereka sahaja. Sdr. Nordin Ismail telah dipilih selaku penama Presiden manakala Sdr. Mohd Shah Amin selaku Setiausaha Agongnya sementara menunggu peralihan untuk ditukar kepada Presiden sebenar Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Tuan Haji Mohd Anuar Tahir sebagai Setiausaha Agong yang pertama Parti Keadilan Nasional.

10. Malangnya, berlaku pergolakan dalaman di kalangan berlaku pendokong reformasi kerana banyak pihak tidak bersetuju untuk melahirkan parti baru di atas pelbagai sebab dan balasan. Mereka menyarankan untuk bergabung samada bergerak dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) atau Parti Rakyat Malaysia (PRM).

11. Malahan Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri selewat tarikh 15 Mac 1999 iaitu hanya tinggal sekitar 2 minggu sebelum tarikh pelancaran yang dirancang iaitu awal April 1999; diatas pengaruh beberapa pehak, tidak cenderung untuk Parti Keadilan Nasional dilahirkan. Beliau lebih senang untuk bersama dengan PAS atau PRM. Dr. Mohamad Rafie Ab Malek beserta pimpinan penaja PMB telah mengutus surat kepada DSAI untuk menolak pandangan beliau yang tidak mahu Parti Keadilan Nasional dilancarkan.

12. Pada 19 Mac 1999, jam 11.00 pagi di Petaling Jaya satu mesyuarat yang dihadiri oleh Tuan Haji Mohd Anuar Tahir, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek, Norazmi, Yusuf Abdul Rahman, Zulkifli Daud dan beberapa orang yang lain telah memutuskan untuk melancarkan Parti Keadilan Nasional pada awal April 1999 walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai kelompok yang lain dikalangan pendokong reformasi. Beberapa usaha untuk menjelaskan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail telah dibuat untuk menjelaskan mengapa Parti Keadilan Nasional perlu dilancarkan. Akhirnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akur bahawa Parti Keadilan Nasional perlu dilancarkan untuk menjadi agen perubah atau “catalyst” di dalam mencorakkan “landscape” baru politik di Malaysia.

13. Namun, usaha penolakan penubuhan dan pelancaran Parti Keadilan Nasional makin hebat diteruskan. Akibat pelbagai tekanan, Tuan Haji Mohd Anuar Tahir merasa terpinggir sebagai penyelaras pelancaran Parti Keadilan Nasional yang dirancang pada pagi 4 April 1999 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur. Dr. Mohamad Rafie Ab Malek segera mengambil alih tugasan dan mengerakkan puluhan anak-anak muda yang ketika itu majoriti merupakan pekerja-pekerja kilang di Nilai dan Bangi untuk memastikan Majlis Pelancaran Parti Keadilan Nasional berjalan dengan jayanya.

14. Pada ketika itu tiada langsung sebarang peruntukan kewangan dari mana-mana pihak, maka anak-anak muda inilah yang telah mengeluarkan semua belanja untuk menampung semua kos termasuk sewaan di Hotel Renaissance dan bahan cetakan.

15. Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah, pada pagi 4 April 1999, ribuan masyarakat dari pelbagai bangsa dan agama hadir sebagai sokongan. Kehadiran amat menggalakkan sehingga Dewan Besar tidak mampu menampung yang menyebabkan orangramai melimpah keluar dari kawasan Hotel Renaissance, Kuala Lumpur .

16. Alhamdulillah, pada hari ini, genap 13 tahun, Parti Keadilan dilancarkan dan ia lebih simbolik kerana perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. di era Mekah juga selama 13 tahun.

17. InsyaAllah, era Madinah, era pentadbiran Madani yang bermula di Madinah akan menjadi simbolik era kejayaan perjuangan kita di Malaysia setelah 13 tahun berlalu bersama-sama satu pakatan yang lebih besar iaitu PAKATAN RAKYAT.

18. Di dalam simbolik sempena 13 tahun parti, majlis dengan ini mengalu-alukan pengasas-pengasas parti Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Sdr. Norizam Yassin dan Sdr. Suhaimi Salleh untuk memotong kek.

Reformasi, Reformasi, Reformasi.......TAKBIR!!

(Serentak dengan pengumuman ini lagu Teman Sejati - Kumpulan Brothers dikumandangkan sebagai simbolik dimana lagu ini telah dimainkan semasa Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mula memasuki Dewan Besar di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada 4 April 1999 dan tamat sebaik sahaja Presiden sampai di pentas)

No comments:

Post a Comment