Tuesday, January 03, 2012

Kerana politik sempit dalaman parti beri ruang PDRM bertindak dibawah telunjuk Umno

Pada 27 Dis 2011 (8.30 pagi) cheGuBard menerima panggilan dari seorang pegawai polis dari IPD Ampang yang memperkenalkan dirinya ASP Wisma. Ini bukanlah kali pertama mendapat panggilan daripadanya. Menurutnya perlu mengambil kenyataan dari che'GuBard berkenaan satu laporan polis. Setelah beberapa kali 'mengelak' kerana sememangnya tidak berkesempatan maka kali ini telah beri ruang dengan syarat dia setuju untuk datang ke Seremban. Maka pertemuan telah disusun pada jam 3.30 ptg di Balai Polis Seremban 2. Persetujuan ini juga mengambil kira esoknya akan ke 'Borneo' maka tidak mahu polis mengambil kesempatan menyekat atau mengganggu perjalanan nanti.

Jam 3.30 ptg tiba di Balai Polis Seremban 2. Sebelum ke Balai Polis telah memaklumkan kepada dua pimpinan tetapi tidak mendapat respon. Bila mula sesi soal siasat barulah dimaklumkan che'GuBard diambil kenyataan sebagai orang yang disyaki dalam satu siasatan berkaitan satu laporan akaun twitter palsu yang menggunakan nama 'AMK Rembau' yang dikatakan menghina raja. Kertas siasatan dibuka dibawah akta hasutan.

Akaun ini akaun palsu yang wujud sejak pemilihan parti yang lepas. Sememang sejak pemilihan lepas taktik jahat membuka akaun palsu FB dan twitter ini menjadi strategi lawan che'GuBard dalam usaha menang dengan menabur fitnah dan memburukkan imej.

Cuma persoalanya sehingga selepas pemilihan perkara ini berterusan.

Ramai mengatakan akaun FB atau twitter palsu ini angkara SB atau Umno tetapi che'GuBard tegaskan kalau ia angkara Umno atau SB ia ialah angkara SB atau Umno didalam parti sendiri yang bermain politik sempit. Kita punya bukti pemilik akaun ini saling berkomunikasi antara penama dalam parti. Malah kami juga mengenal pasti antara akaun tersebut dikendalikan melalui tweetdeck yang dikendalikan melalui 'desktop' yang sama kerana IP yang sama.

Persoalanya sekali lagi kenapa tidak sudah - sudah.

Ketika sesi soal siasat, che'GuBard menghantar sms kepada beberapa pimpinan mohon bantuan seperti penjamin, bantuan guaman atau seumpamanya namun sejam tidak menerima sebarang balasan. Sehinggalah akhir sesi rakaman percakapan menggunakan klausa yang terdapat dalam akta rasuah yang membenarkan pegawai polis merampas barang yang dikira perlu dalam siasatan maka blackberry cheGubard telah dirampas. Malah tidak cukup dengan itu polis turut hendak mendapatkan telefon bimbit lain dan komputer peribadi cheGuBard serta PKR Rembau. che'GuBard berkeras tidak mahu menyerahkan yang lain tetapi blackberry yang ada tidak boleh dielak dari dirampas.

Tidak cukup dengan itu polis terus memburu Ketua AMK Rembau, Sani Md Shah dan Bekas Ketua AMK Rembau, Zairul. Polis masih cuba memasuki Pejabat PKR Rembau.

Sehingga hari ini tiada dari pihak parti yang cuba menghubungi bertanyakan kedudukan sebenar atau cuba menghulurkan bantuan. Kecuali Zulkifli Ibrahim, Bekas Exco AMK yang meminjamkan cheGuBard, blackberry kepunyaannya dan YB Nurul Izzah yang menghantar email borang aduan disiplin untuk che'GuBard buat aduan disiplin.

Polis diperkudakan Umno boleh bertindak melampau kali ini kerana politik sempit sesama kita. Tidak cukup dengan itu muncul lagi beberapa orang yang kononya orang kuat parti (AMK) mula menyerang che'GuBard kononya semua ini perancangan che'GuBard sendiri untuk raih publisiti. Ada antaranya menggunakan IP sama seperti twitter palsu yang menjadi punca laporan.

Malah ada yang berjawatan dalam parti turut bersama dengan 'papagomo' blogger Umno untuk menyerang che'GuBard.

Mereka ini semua menjadi angkuh kerana sejak pemilihan lalu ada yang mengaku terang -terangan menipu dalam pemilihan dalam akaun media barunya tetapi parti terus lindungi.

Apa sebenarnya berlaku ?

Bagi che'GuBard dan kawan - kawan dalam SAMM kami tidak ada masa sebenarnya untuk politik sempit dan jahat ini. Sesungguhnya dengan sumber terhad kami sendiri tak cukup masa dalam melaksanakan perancangan ke depan.

SAMM bersama beberapa sekutu yang menjenamakan semula kempen ABU baru sahaja selesai mengedarkan 30,000 dvd percuma terus ke rumah - rumah. Kami baru sahaja selesai rapat dan keluar dengan modul latihan yang akan bermula bulan Januari. Mencari dana cetak risalah dll, latihan mobilisasi massa semuanya kami terkejar - kejar.

Kami tak punya dana besar tetapi kami masih mahu melakukan kerja-kerja besar menyumbang sama mengubah dan menyelamatkan negara. Kami tak mahu berebut tender kontrak atau peluang kewangan di negeri PR memerintah, tak perlulah disebut siapa kelompok yang terkejar-kejar itu. malah kami juga tidak dengki melihat ada yang mendapat dana seperti air mengalir dengan harapan mereka sama turut berjuang dengan dana mewah perolehan tersebut.

Umno tuduh ketika serangan berangkai kepada Rosmah dilakukan ia ditaja oleh Anwar Ibrahim...tanya sendiri berapa sen kami terima jika ada... kami tidak kisah kerana SAMM telah bulat tekad tumpuan utama jatuhkan regim..

Apa yang didengkikan SAMM bukan front mana - mana parti politik. SAMM dianggotai perbagai latar anak muda termasuk ada ahli dari parti Bn itu sendiri yang bersama berdasarkan program dan isu. SAMM boleh bekerjasama baik dengan PAS dan DAP tetapi kenapa dengan PKR bukan sekadar kerjasama malah ada program SAMM yang disabotaj oleh pimpinan PKR.

Kenapa che'GuBard tidak bergerak atas nama parti ? SAMM wujud sejak 2006 lagi, selama itu SAMM digerakkan dan che'Gubard tetap banyak bergerak atas nama PKR tetapi hanya selepas pemilihan che'GuBard bergerak atas nama SAMM. Ini berlaku kerana untuk elak dari keadaan menjadi lebih keruh. Pernah banyak kali perbagai pemuka parti menggunakan nama Anwar Ibrahim cuba mengganggu program che'GuBard kerana kononya Anwar arah batal.

Salah satu kejadian apabila Johari Kassim menghubungi PAS Kepala Batas untuk membatalkan program che'GuBard konon arahan Anwar kerana che'Gubard dalam tindakan disiplin.

Adakah mereka diamkan jika bergerak atas SAMM ? Jawapannya tetap tidak, contoh Ketua Cabang Sepang cuba melobi ahli majlis lain dalam Sepang untuk membatalkan Program Karnival anak Muda di Cyberjaya.

Semua ini saya sudah adukan kepada beberapa pimpinan tetapi cuma nasihatnya ialah sabarlah.

Di Rembau saya tetap menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Cabang. Semenjak dari belum angin PRU lagi dengan serba payah che'GuBard dibantu dengan beberapa AJK yang komited terus bergerak.

Muncul pula persoalan cabang Rembau bergerak sendirian. Kami tidak sendirian kami sentiasa jalin kerjasama dengan cabang-cabang lain yang juga turut aktif seperti Seremban dan Teluk Kemang. Keputusan untuk meminimakan kerjasama dengan MPN ialah keputusan cabang bukan chegubard secara peribadi.

Antara sebabnya ialah
  1. mesyuarat berjam - jam tetapi perlaksanaan 'zero' contoh hampir 4 jam mesyuarat konon persiap jentera PRK Penanti. Perancangan terperinci namun bila pelaksanaan semua gagal malah delegasi NS 'lari balik' hanya kerana tidak mendapat duit untuk makan. sebaliknya Seremban dan Rembau terus berada di Penanti untuk membuat kerja semampu mungkin.
  2. Pengerusi hanya ego dan menggunakan veto. Contoh menjelang PRK Bagan Pinang dipanggil satu mesyuarat. Namun lansung tidak dibincang hanya ada terus veto pengerusi dengan keputusan, PKR tidak buka bilik gerakan, tidak ada bendera atau banner cuma bantu kempen apa yang PAS dah ada. Ini keputusan seolah sabotaj ..... atau mungkin ada yang tidak mahu pimpinan pusat dengar sendiri rungutan pengundi Teluk kemang yang kecewa dengan prestasi ahli parlimen mereka ?
  3. Wujud agen dari Umno dan Polis. Pada PRU 2004 saya terpaksa bertanding di DUN Rantau kerana dua watak dikenalpasti cuba menjual kerusi Rantau iaitu Nordin dan Ibrahim Yusof. Saya dibiarkan bertanding hampir tanpa bantuan. Namun saya tetap hadapi demi menjaga maruah parti. Memang benar selepas itu tetap ada disusun menggunakan orang parti untuk dipertemukan saya dengan seorang berpangkat Dato' untuk saya menjual kerusi Rantau namun saya tolak dan kes ini dilaporkan kepada BPR serta polis. PRU 2008 pula watak sama Ibrahim Yusof datang bertemu saya memujuk untuk saya menjual kerusi Rembau, malah beliau turut bertemu ramai lagi calon PKR termasuk Aminuddin (ADUN Sikamat) untuk memujuk menjual kerusi. Malah selepas pilihanraya masih terdapat beberapa bukti beliau terus berhubung dengan pihak Umno. Orang seperti inilah yang diberi tempat istimewa dalam parti beberapa kali terlibat banyak kes termasuk kes melibatkan kewangan masih dilantik menjadi Ketua Penerangan Negeri. Dia jugalah punca berbincang kerusi diluar mesyuarat sehingga menyebabkan masalah dalam PAS Negeri Sembilan. Itu belum lagi seorang yang mendapat tempat istimewa hingga mendapat kedudukan dalam jawatankuasa pilihanraya pusat. Masih che'GuBard ingat watak ini yang ketika timbul kes Saiful bagaimana dia sendiri secara terbuka menyatakan percaya terhadap kes tersebut benar berlaku, kini menyelinap sehingga ke ibu pejabat. Ini saya telah tegaskan termasuk depan ketua umum.
Maka atas alasan tersebut wajarlah Cabang Rembau meminimakan penglibatan dengan negeri. Namun dikesali diperingkat pusat terpengaruh dengan negeri tanpa terus bertanya kepada cabang secara terus.

Itu belum lagi propaganda jahat seperti dalam perhubungan negeri sendiri menjadi 'sumber dalaman sulit' yang meminta wartawan arus perdana menulis kononya che'GuBard akan keluar parti dan masuk DAP.

Kepada pimpinan parti khususnya DSAI sendiri jagalah dan belajarlah dari pengalaman. Jangan cepat percaya kata - kata manis sekeliling mu itu. Memang che'GuBard garang dan mungkin tidak hormat tetapi tidak pernah merajuk sehingga terpaksa dipujuk dengan lantikan jawatan GLC tetapi kemudian cakap besar dibawah "Anwar tidak akan berani ambil tindakan dan ikut saja cakap sebab Anwar banyak pakai duit aku".

itu belum lagi persoalan bagaimana ada pihak yang menaja kelompok tertentu untuk memecahkan PKR Rembau. Sekarang sudah ada bilik gerakan PKR yang ditaja terus dari pusat di Rembau. Kami di Rembau di minta untuk ikut protokol kalau mahu sesiapa pimpinan pusat turun ke Rembau pastikan ia melalui negeri. Kami akur semuanya. Namun bayangkan dalam keadaan kami akur dengan segala macam protokol tetapi minggu lepas Timbalan Presiden turun ke Rembau tanpa memaklumkan Cabang lansung. Hasilnya program tersebut gagal mendapat sambutan setaraf dengan kehadiran pimpinan bertaraf Timbalan Presiden.

Dalam angin PRU yang hampir kami bersungguh agar jangan ada program gagal yang mungkin menjadi modal Umno. Malangnya apabila program timbalan presiden tidak dimaklumkan cabang dan gagal maka kita semua menerima impak negatifnya.

Bagi che'Gubard mudah tugasan selaku Ketua Cabang Rembau ialah amanah dan jika parti memikirkan ada yang lebih layak tidak perlu berselindung ambillah kan yang lebih penting ialah kesedaran rakyat menumbangkan regim dan kekuatan parti itu sendiri.

Rasanya sudahlah jari ini menaip dalam keadaan amarah dan biarlah ini kali terakhir cuma persoalanya apa lagi yang dimahukan dari che'GuBard ? Tidak pernah diri ini mengeluh orang menuai hasil ghonimah diri ini bergelut dengan kereta kena tarik, terus terperuk di rumah sewa sempit, anak yang lahir terpaksa dibawa 'lari' dari hospital.... bagi che'GuBard itu semua keseronokan berjuang....

Bagi che'GuBard secara peribadi dan dikongsi bersama teman-teman terus fokus.... regim wajib dijatuhkan sesegera mungkin demi menghentikan segala bentuk kerosakan negara.... Anwar Ibrahim masih penyatu dan meriam terbaik gerakan rakyat untuk berdepan dengan regim zalim... cheGuBard dan teman-teman tidak kisah mengenai tempat, jawatan atau habuan cuma menyeru bersekutulah semua demi menyelamatkan negara. Ambillah semua yang ada pada diri ini tinggalkan keluarga dan adik beradik, che'GuBard tetap akan terus berusaha sedaya upaya mengembeling kekuatan rakyat merobah negara.

Kenapa guna saluran ini ? Jawapannya mudah semua saluran sudah digunakan. Akhirnya saya akan dilihat cuba membuka pekung parti tetapi ini pilihan terakhir yang wujud dalam usaha menghentikan semua karut marut remeh temeh yang menyusahkan perjuangan besar ini.

Yakinlah regim itu tidak kuat tetapi setiap pusingan perlawanan pasti wujud pengkhianatan...ketika disaat berada diambang kemenangan rakyat maka bersatu dan berhati-hatilah...

klik sini untuk baca mengenai bbrp bukti berkenaan akuan twitter palsu.

7 comments:

  1. chegubard, lu memang true fighter! gua salut lu chegu.

    ReplyDelete
  2. Anonymous12:35 AM

    hidup yang berprinsip tersangat mulia. kebenaran akan beroleh kemenangan akhirnya.
    teruslah berjuang...

    ReplyDelete
  3. Anonymous8:06 PM

    Chegu bard, jgn mengalah, doa kami sentiasa bersama. Insyaallah ramai yg paham politik itu kotor, to menumbangkan regim sedia ada itulah yg plg penting wlpn ujian bertali arus. Teruskn perjuangan yg mulia demi rakyat dan percayalah janji Allah pada org2 yg berjuang dgn ikhlas.

    ReplyDelete
  4. Anonymous12:01 AM

    amk takder masa utk politik sempit? bro lu mcm ckp depan cermin lah...

    ReplyDelete
  5. Anonymous10:38 PM

    Allah bersama orang2 yg beriman semuga cik gu bad mendapat kejayaan sabenarnya

    ReplyDelete
  6. Anonymous4:38 PM

    aku memang sudah lama kagum ngan chegubard ni...kalu susah2 sgt,masuk PAS laa chegu...huhuhuhu..maaf,ini hanyalah sekadar pendapat...terima kasih..

    ReplyDelete
  7. Anonymous2:11 PM

    Teruskan perjuangan ini. DSAI manusia biasa, punya kelemahan. Telah dipatuk berkali-kali oleh ular dari lubang yang sama, tetapi masih gagal untuk kenal intan atau kaca. Semuga ALLAH memberi kesudahan yang baik untuk Che'gu.

    ReplyDelete