Wednesday, May 18, 2011

Sambut baik desakan Pemuda Umno tapi umpama ...

Solidariti Anak Muda Malaysia menyambut baik desakan Pemuda Umno Malaysia agar kerajaan tidak menaikkan harga petrol. SAMM cuba menilai dari sisi positif desakan ini, yang nampaknya serius kerana ketuanya juga melalui akaun laman sosialnya turut menyatakan "telah mengarahkan mana-mana Pemuda Umno Bahagian yang belum bermesyuarat untuk membawa usul jangan naik harga petrol ini." Ini menggambarkan seriusnya mereka dalam tindakan ini. SAMM menyakini usul desak tidak naik harga petrol ini akan menjadi usul utama Mesyuarat Agong Pemuda Umno Malaysia kali ini kerana arahan telah dikeluarkan. Ini kerana cuba memahami tradisi dalam Umno yang tanpa arahan mereka akan diam walaupun kenaikan harga minyak tetapi apabila arahan ini berlaku pasti mereka akan bawa usul ini kerana arahan.

Memahami Pemuda Umno sebagai sebuah organisasi politik yang bertanding dalam pilihanraya mungkin saja tindakan ini ekoran untuk meraih populariti kerana mereka sedar kemarahan rakyat kepada parti penguasa yang amat tinggi ekoran siri kenaikan harga yang seolah tidak mampu dikawal regim. Namun itu urusan mereka, bagi SAMM selaku organisasi yang cuba menjadi organisasi massa muda sudah tentu turut bersama desakan tersebut bukan sahaja tidak menaikkan tetapi menurunkan semula harga minyak dengan penstrukturan semula subsidi negara dengan mengurangkan bantuan korporat.

Namun dalam sisi yang lain ia seolah tindakan seekor kucing mendesak kawannya yang juga kucing untuk jangan makan ikan. Rakyat sudah tentu tidak lupa dengan tindakan ahli-ahli parlimen Bn termasuk ahli parlimen dari pemuda Umno yang pernah mengangkat tangan dalam sesi undi belah bagi dalam parlimen Malaysia (awal penggal ini) yang menyokong kenaikan harga bahan bakar yang merupkakan pada ketika itu tertinggi dalam sejarah negara.

Masalah sebenar negara ialah bukan harga pasaran dunia, selaku pengeluar minyak yang nilai kegunaan domestik masih jauh kurang dari yang dieksport maka sudah tentu kenaikan harga petroleum dunia boleh menjadi rahmat. Masalah utamanya ialah pembaziran dalam pengurusan, ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan pengaliran wang haram yang didalangi oleh mereka yang rapat dengan regim merupakan punca sebenar negara hilang daya saing dan daya mampan untuk menjaga kepentingan rakyat seperti mengawal harga bahan bakar.

SAMM memandang serius perkara ini, kenaikan seolah tidak dapat dibendung. Regim begitu lemah seperti hilang kreativiti mentadbir ekonomi sehingga membiarkan rakyat lemas dalam pasaran terbuka.

SAMM juga tidak menolak ini mungkin saja propaganda menjelang pilihanraya umum Menteri akan mengumumkan di mana kononya harga minyak akan dinaikkan tetapi oleh kerana desakan pemuda Umno maka harga minyak kekal. Lebih malang lagi seperti biasa selepas pilihanraya harga naik mendadak pula.

No comments:

Post a Comment