Friday, March 04, 2011

Pemilihan PKR: Siasatan JPP selesai?

PETALING JAYA: Siasatan terhadap aduan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) membabitkan salah laku sepanjang pemilihan PKR pada November lalu telah selesai.

Menurut sumber dalaman JPP, bagi aduan yang melibatkan sebarang pergaduhan, perkara itu telah dibawa kepada perhatian Biro Disiplin parti.

Manakala bagi aduan-aduan yang melibatkan pemimpin seperti Pengarah Latihan, Mustaffa Kamil Ayub dan Badrul Hisham Shaharin (CheguBard) perkara itu dianggap selesai.

Sepanjang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukakan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

Sumber itu berkata, JPP memandang serius setiap aduan yang dikemukakan dan inkuiri telah dibuat dan kemudian akan diserahkan kepada MPP.

JPP bersidang setiap minggu

“Semua aduan yang kami terima telah disiasat dan sudah selesai. Kes-kes atau aduan yang melibatkan pergaduhan kami telah bawa

kepada Biro Disiplin dan tindakan yang sepatutnya telah diambil. Boleh dikatakan setiap minggu JPP bersidang dan membuat inkuiri bagi aduan tersebut.

“Aduan-aduan itu akan melalui proses penilaian dan keputusan. Pertama, kita akan bawa dalam mesyuarat MPP. Kemudian Biro Disiplin dan akhir sekali kepada Biro Politik. Jika aduan serta kes itu serius maka anggota berkenaan akan disyorkan dipecat daripada parti.

“Tentang aduan CheguBard, jawapan balas secara rasmi sudah dihantar kepada beliau minggu lepas. Manakala aduan Mustaffa Kamil juga telah dijawab oleh JPP,” kata sumber itu kepada FMT.

Menurut sumber terbabit, kini parti dalam persiapan untuk mengadakan pemilihan semula membabitkan cabang-cabang seperti Kapar, Subang, Klang, Jerai dan Kuala Langat tetapi pada tarikh yang berbeza.

Pemilihan semula bagi cabang Kapar, Subang dan Klang ditetapkan pada 13 Mac manakala cabang Jerai (26 Mac) dan Kuala Langat (27 Mac). Hanya cabang Batu Sapi sahaja yang belum menetapkan tarikh.

Ini bermakna cabang-cabang berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) sekali lagi, berikutan masalah kelemahan logistik, teknikal, mahupun berlaku pergaduhan.

JPP didakwa menipu

FMT menghubungi kedua-dua pengadu, Mustaffa Kamil dan Chegubard dan mereka menafikan menerima jawapan balas daripada JPP dan menyifatkan kenyataan itu sebagai satu “penipuan.”

Malah menurut CheguBard, surat terakhir beliau bertarikh 10 Februari lalu kepada Biro Politik juga tidak dijawab.

“Saya tidak terima sebarang jawapan balas daripada JPP. Maknanya JPP menipu. Saya dah tulis surat pada 10 Februari lepas dan itu adalah kemuncak penggunaan saluran dalaman untuk menjawab semua aduan-aduan saya,” katanya yang dihubungi FMT.

Sementara itu, Mustaffa berkata beliau akan berbincang dengan jawatankuasa berhubung aduannya dan bercadang untuk mengadakan perbincangan semula dengan JPP dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

“Saya ada menerima berita perkembangan daripada Pengerusi JPP Dr Molly Cheah tapi setakat ini tiada sebarang jawapan yang mereka maksudkan itu,” katanya.

Mustaffa pada November tahun lalu membuat aduan sebanyak 162 salah laku kepada JPP.

No comments:

Post a Comment