Tuesday, December 14, 2010

Siapa patut jawab JPP atau SUA ?

Oleh K Pragalath

PETALING JAYA: Bekas exco AMK Zulkifli Ibrahim mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang meminta bekas calon ketua sayap itu, Badrul Hisham Shaharin supaya tidak bertindak bukan-bukan.

Ini berikutan tindakan Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard membuat aduan berkaitan proses pilihanraya parti baru-baru ini.

Dalam kenyataan Zulkifli, beliau mahu Saifuddin menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'bukan-bukan'.

Seterusnya beliau turut menimbulkan persoalan mengapa isu yang diungkitkan kepada jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) dijawab oleh setiausaha agung parti namun apabila ada persoalan terperinci, pengadu disuruh merujuk perkara tersebut kepada JPP.

"Saya berasa hairan, bila kita tampil bertanya kepada JPP atau menghantar persoalan kepada JPP, yang tampil ke depan menjawab ialah YB Setiausaha Agung, tetapi bila tak boleh menjawab bila ditanya butiran lengkap YB Setiausaha Agung akan jawab tak apa kita serah pada JPP..... apakah ini ?

"Undang-undang keadilan apakah ini? Yang diadukan antaranya ialah kepincangan JPP dan JPP diserahkan untuk menyiasat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zulkifli turut menyoal bagaimana tata-tertib parti membolehkan JPP menyiasat kepincangannya sendiri.

Beliau juga mendakwa bahawa sistem aduan dalam parti pincang kerana tanggungjawab untuk membuktikan terletak di bahu pengadu dan bukannya JPP.

Beliau turut mendedahkan bahawa beliau selaku penyelaras kempen Badrul Hisham telah mengutuskan surat beberapa kali untuk mendapatkan penjelasan dari JPP, presiden parti (Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail) dan setiausaha agung namun hingga kini masih tidak terjawab.

Selain itu Zulkifli turut menyatakan bahawa kelemahan dalam pemilihan kepimpinan parti berlaku kerana wujud unsur penipuan.

"Saya mahu perkara ini disiasat oleh badan yang bebas dan pihak yang bersalah dihukum. Saya menyokong tindakan Chegu Bard menolak semua perlantikan jawatan kerana jika menerima lantikan maka ia dilihat bersekongkol dengan kabinet yang dibentuk secara penyelewengan demokrasi.

"Tindakan ini seharusnya dilihat dengan aspek positif kerana dalam PKR ada suara anak muda berani menegakkan keadilan demi menjamin proses demokrasi telus. Jauh dari itu ini bukan persoalan jawatan tetapi persoalan ketelusan," katanya.

Badrul Hisham yang kalah kepada penyandang jawatan tersebut, Shamsul Iskandar Mohd Akin menolak tawaran untuk menerima sebarang jawatan secara lantikan selagi pihak berkenaan tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan.

klik sini untuk link kenyataan penuh Zulkifli

No comments:

Post a Comment