Friday, June 18, 2010

PEMIMPIN PR REMBAU DIJEMPUT MEMERIAHKAN KONVOI PERSATUAN BELIA RELA ISLAM SENAWANG




PEMIMPIN PR REMBAU DIJEMPUT MEMERIAHKAN KONVOI PERSATUAN BELIA RELA ISLAM SENAWANG

FAIZ ABDULLAH

SENAWANG - Belia Rela Islam Senawang telah menganjurkan konvoi bermotosikal ke Kedah yang disertai hampir 100 belia Rela Islam Senawang.Hadir sama ialah wakil Lembaga Adat Wilayah Naning, Dato' Seri Mempelas Abdul Manan Abu Anas; Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani, Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan Penasihat Persatuan Belia Islam Rela Senawang, Zubeer Abu Bakar.

Zubeer berkata program konvoi bermotor ke Kedah dianjurkan untuk mengeratkan lagi silaturrahim diantara Persatuan Belia Islam Rela Senawang dengan Persatuan Belia Islam Rela Kedah.

" Lebih 100 pemuda belia Islam Rela Senawang bersama ahli US Bikes 250 - 1 Malaysia akan berlepas pada malam ini dan akan sampai di Kedah pada pagi esok.

" Saya berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi pemuda Islam akan menyertai aktiviti anjuran persatuan kami", kata Zubeer.

Sementara itu Mohd Taufek mengucapkan tahniah kepada Persatuan Belia Islam Rela Senawang dan US Bikes 250 - 1 Malaysia diatas kejayaan menganjurkan konvoi ke Kedah kerana ini merupakan satu trend yang baik untuk anak muda dalam meluangkan masa dengan aktiviti permotoran yang sihat seperti ini.

" Kita tidak seharusnya mengkritik dan menghentam anak muda tanpa selami kehendak mereka.

" Penganjuran aktiviti lasak dan outdoor ini merupakan aktiviti alternatif untuk anak muda dan dapat membendung mereka daripada terjerumus ke aktiviti yang tidak bermoral", kata Mohd Taufek.

Mohd Taufek juga meminta agar kerajaan Negeri Sembilan menyediakan prasarana dan kemudahan untuk sukan bermotor kerana ini dapat membendung penglibatan remaja dalam gejala merempit dan lumba kereta haram sekitar bandar Seremban dan Senawang setiap malam sabtu.

" Saya juga mencadangkan agar lebih banyak aktiviti sihat disusun di Dataran Senawang untuk anak muda agar golongan ini tidak dilepas pandang yang akhirnya akan mengundang banyak gejala sosial.

" Tiada aktiviti sihat yang menarik yang dianjurkan oleh pihak berkenaan merupakan salah satu sebab anak muda melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat", ujar Mohd Taufek.

Badrul Hisham pula menyatakan rasa penghargaan ke atas Zubeer dan Persatuan Belia Islam Rela Senawang di atas kesudian pihak berkenaan menjemput beliau dan rakan Pakatan Rakyat Rembau iaitu Mohd Taufek untuk memeriahkan lagi program tersebut.

" Saya bangga kerana saya dan Mohd Taufek di jemput atas kapasiti wakil KeADILan dan PAS untuk melepaskan konvoi bermotosikal ini.Ini merupakan satu pengiktirafan kepada kami di Pakatan Rakyat Rembau khususnya.

" Walaubagaimanapun saya merasa sedikit kecewa dengan ketidakhadiran wakil Umno kerana saya difahamkan mereka juga telah dijemput.Tetapi tiada seorang pun wakil mereka muncul pada malam ini.Seharusnya perbezaan fahaman politik harus ditolak ketepi dalam program kemasyarakatan dan sihat seperti ini", ulas Badrul Hisham dengan nada kesal.

Sementara itu Abdul Manan, Mohd Taufek, Badrul Hisham dan Zubeer melepaskan konvoi bermotosikal tepat pukul 12.00 malam di Dataran Senawang di sini.

No comments:

Post a Comment