Wednesday, June 04, 2008

Mahkamah tolak bicara Petisyen, Badrul cabar jawab debat

SEREMBAN, 4 Jun (SK)- Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki pagi ini telah menolak bagi membicarakan kes petisyen untuk mencabar kemenangan Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin di Parlimen Rembau dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Pada 25 Mac lalu, Petisyen tersebut telah difailkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan yang juga calon di Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Menurut Badrul dalam blognya, keputusan berkenaan ditolak kerana pihak KeADILan gagal membuktikan petisyen tersebut.

Badrul berkata, keputusan ini memang telah dijangka oleh beliau walaubagaimanapun ianya tidak menjangka akan ditolak dengan begitu mudah.

“Secara peribadi keputusan ini sudah dijangkakan kerana BN sudah tidak mampu hilang mana - mana kerusi lagi dan mereka jelas tidak sanggup berdepan dengan mana - mana pilihanraya kecil jika berlaku,” katanya di Chegubard.blogspot.com.

Tambahnya lagi, beliau tidak akan terperangkap dengan hujah teknikal, namun jelasnya kini apa yang perlu dijadikan fokus adalah cabaran debat beliau yang masih belum terjawab.

“Cabaran debat saya untuk membincangkan isu rakyat seperti pergabungan ECM Libra Avanue Capital, skandal penjualan Telekom dan Pantai Holding kepada pihak asing, penglibatan keluarga Perdana Menteri dalam skandal minyak untuk makanan di Iraq, penglibatan keluarganya juga dalm kegiatan jaringan penjanayah pengganas antarabangsa diselindungkan dengan ‘pemenjaraan’ BSA Tahir di bawah ISA dan puluhan isu lagi …..Cabaran debat saya masih gagal dijawab,” menurutnya lagi.

“Saya ingin menarik semula fokus semua terhadap alasan saya turun ‘bertempur di Rembau’ dan cabaran debat saya yang masih tidak terjawab,” tambahnya

Katanya lagi, beliau memilih untuk melawan Khairy adalah diatas keyakinan yang tinggi dan menggalas harapan rakyat,khususnya golongan muda, yang menyedari hakikat betapa kita sedang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang amat lemah.

“Kelemahan beliau sedang dipergunakan oleh menantu, anak dan keluarga serta kenalan beliau untuk mengaut keuntungan. Lebih parah lagi orang di kelilingnya begitu tamak sehingga tidak langsung mempedulikan mengenai risiko terhadap negara dan kedaulatan rakyat dan negara ini,”menurutnya lagi.

Dalam kepercayaan jika berlaku pilihanraya mengejut, Badrul menyatakan keyakinan tinggi bahawa Barisan Nasional akan kehilangan kerusi di Parlimen Rembau.

“Terdapat kenyakinan yang tinggi jika BN menggunakan taktik pilihanraya umum mengejut untuk menghalang penubuhan pakatan rakyat yang bakal berlaku dengan penghijrahan besar - besaran ahli Parlimen Bn ke dalam Pakatan Rakyat, kami di Rembau yakin Parlimen Rembau bakal bertukar tangan,” katanya.

“Jumlah keahlian bertambah mendadak. Pendedahan isu dan program khidmat telah berjaya membuka mata rakyat. Terlalu banyak isu di Rembau ini dari isu rumah terbengkalai, bangunan di diami tiada sijil layak duduki, kemiskinan tegar, kemudahan asas sehinggalah kepada masalah keciciran anak sekolah. Sehingga kini ada ramai pihak yang sudah mula mengeluh dengan prestasi wakil BN yang ‘terpilih’. Rakyat juga menanti - menanti manifesto atau janji PRU dilaksanakan di Rembau,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada panel peguam, penyokong dan semua yang terlibat.

“Walaupun apa keputusan mahkamah ia tidak menghalang untuk terus berkhidmat demi rakyat Rembau dan keseluruhanya. Di Peringkat Rembau, Bilik Gerakan Utama Pilihanraya Rembau (yang digunakan pada pilihanraya lepas) tidak ditutup (dan) dalam peringkat akhir untuk dijadikan Pusat Khidmat Rakyat Rembau,”katanya.

Beliau juga meminta agar mereka yang sudi untuk menyumbang sebarang betuk bantuan bagi Pusat Khidmat di Rembau untuk menghubungi NorAzizi Aziz di talian 0123696474.

Antara petisyen berkenaan ialah;

* Jumlah Kertas undi yang tidak sama amat ketara iaitu jumlah kertas undi dikeluarkan bagi parlimen berlebih dari jumlah semua kertas undi yang dikeluarkan diperingkat DUN di bawah parlimen Rembau. Ini sudah tentu tidak munasabah ada orang yang datng mengundi ambil kertas undi parlimen tetapi tidak ambil kertas undi DUN.

* Hak agen calon keADILan mendapatkan salinan borang 14 dinafikan dengan perbagai alasan. Ini menyebabkan pihak keADILan gagal menghalang pengumuman kemenangan BN malam tersebut walaupun dari kiraan awal tidak rasmi keADILan dilaporkan menang. Ini merupakan penipuan terancang melibatkan SPR, walaupun didedahkan perkara ini Pengarah SPR Negeri telah mengeluarkan kenyatan menafikan perkara ini dan mengatakan semua pusat dibekalkan borang 14 yang cukup, tetapi hakikatnya terlalu banyak saluran yang khususnya keADILan menang borang 14 tidak diberikan dan antar alasanya ialah salinan tidak mencukupi. Proses kiraan dan penjumlahan undi amat diragui termasuk kejadian bagaimana kira kira jam 10 malam, 2 peti undi masuk ke pusat penjumlahan dengan disertai oleh kenderaan yang dinaiki Pengerusi BN Negeri.

* Sepanjang tempoh pilihanraya terlalu banyak aduan mengenai keganasan dan perlanggaran undang - undang dibuat termasuk oleh calon keADILan sendiri tetapi pegawai - pegawai yang bertindak selaku SPR seolah gagal bertindak. Pegawai - pegawai yang menjalankan tugasan SPR semenjak dari permulaan PRU 12 di Rembau jelas menyebelahi atau didapati ‘berusaha’ memenangkan calon BN.

* Kejadian pembelian undi dan kekeliruan dalm senarai permilih termasuk pengundi yang hilang dari senarai terdapat aduan mengenai perkara ini di hari mengundi.

No comments:

Post a Comment