Friday, November 02, 2007

GERAK mendapat signal dari 6 Bandar.

Kenyataan media
2 November 2007

Hari ini GERAK telah mendapat maklumbalas dari orang dan organisasi perhubungan di 6 negara yang menyatakan prihatin dan bersedia untuk menunjukkan solidariti kepada BERSIH khususnya perhimpunan 10 November ini.

Maka dengan ini disahkan, serentak dengan Perhimpunan Aman pada 10 November 2007 di Malaysia aktivis di 6 bandar juga akan mengadakan aksi solidariti yang sama di depan kedutaan Malaysia di negara mereka untuk menunjukkan sokongan dan keperihatian mereka terhadap isu menuntut pilihanraya bebas dan adil di Malaysia.

Bandar – Bandar terlibat ialah Ulaanbaatar, Manila, Jakarta, Delhi, Bangkok, Colombo dan Seoul. Jumlah ini hanya melibatkan aktivis dan organisasi perhubungan GERAK, dan kami menyakini banyak bandar lain akan turut menyertai aksi solidariti yang digerakkan oleh badan gabungan BERSIH yang lain.

Berhubung dengan Perhimpunan Aman Rakyat di Dataran Merdeka yang kemudian akan berarak ke Istana Negara pada 10 November jam 3 petang nanti dengan ini selaku badan gabungan BERSIH, GERAK menegaskan bahawa perhimpunan itu bukan perhimpunan parti politik. Ia tidak sama sekali berimej mana mana parti politik. Ia bukan perhimpunan anti Kerajaan. Ia merupakan perhimpunan aman rakyat menuntut satu pilihanraya yang bebas,bersih dan adil. Semua parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau rakyat secara individu dijemput untuk menyertainya. BERSIH juga mempunyai pendirian terbuka untuk menerima mana – mana pertubuhan yang berkongsi cita – cita melihat demokrasi diperkasa dengan wujudnya pilihanraya bebas, bersih dan adil.

Sehubungan dengan itu semua pihak khususnya Polis Di Raja Malaysia supaya bertenang dan memberikan kerjasama. Ia bukan himpunan menentang kerajaan ia perhimpunan kearah memperkasakan demokrasi dalam negara. Diharap polis tidak mengulangi kesilapan dengan memalukan negara melalui tindakan yang tidak menghormati hak rakyat dalam keadaan dunia sedang memerhatikan Malaysia.

Dalam keadaan situasi jenayah yang ‘agak’ tidak terkawal adalah menjadi harapan rakyat ‘kekuatan’ polis ditumpukan kepada mengurangkan kadar jenayah. Beberapa perkembangan terkini dan khabar angin yang kuat melanda PDRM kononya berlaku perpecahan (krisis) antara pegawai tinggi PDRM dan rakyat berharap agar polis tidak cuba menggunakan isu perhimpunan rakyat (kebangkitan kesedaran) sebagai satu cara mengalih isu. Yakinlah sebarang tindakan melampau bukan sahaja tidak mengalihkan isu tetapi akan lebih memburukkan keadaan.

GERAK telah pun menghantar jemputan kepada hampir seluruh sukarelawan berdaftar seluruh negara dan jawatankuasa GERAK peringkat negeri untuk sama turun dan terlibat secara aktif dalam usaha mobilisasi. Rakyat diharap jangan was was untuk hadir bersama dalam perhimpunan tersebut bersama keluarga dalam suasana aman dan riang.

Badrul Hisham Shaharin
Eksekutif Ko odinator GERAK

No comments:

Post a Comment