Friday, May 11, 2007

Ahli Parlimen BN kurang ajar !!

Angkatan Muda dengan ini merakamkan rasa kesal tindakan ahli parlimen BN yang mehina wanita dengan mengeluarkan kenyataan berbaur seksis (lucah).

Semasa persidangan 9 Mei 2007 , Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) telah mengeluarkan kenyataan yang menghina wanita semasa berlaku kekecohan berkaitan isu kebocoran di Parlimen semalam.

Dalam keriuhan itu, Bung Moktar kedengaran berkata: "Mana ada bocor, Batu Gajah pun tiap-tiap bulan pun bocor juga."

Ketika itu Fong dan anggota pembangkang lain sedang membantah keputusan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Lim Si Cheng, berhubung perbincangan mengenai isu kebocoran yang berlaku di beberapa bahagian di dalam bangunan Parlimen.

Ahli Parlimen seharusnya membahaskan sesuatu usul dengan penuh kematangan dan bijaksana demi mengenengahkan masalah rakyat dan mencari penyelesaian terbaik. Ini bukanlah kali pertama ahli parlimen khususnya dari Barisan Nasional mengeluarkan kenyataan yang tidak matang dan menghina semasa sesi perbahasan.

Ahli Parlimen BN – Jerai, contohnya pernah mengeluarkan kenyataan mengancam dan menghalau orang bukan Islam atau bukan Bumiputera pulang ke negara asal mereka.

Tetapi seperti biasa bantahan mengenai perkara ini dan usul untuk menghadapkan mereka ke Jawatankuasa Khas parlimen gagal. Malah kali ini usul untuk menghadapkan mereka bukan sahaja di tolak tetapi lebih di kesalkan ialah Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menganggap penghinaan seperti itu hanya satu gurauan biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata setiap anggota Parlimen yang melangkah masuk ke Dewan Rakyat harus bersedia untuk menerima kenyataan berbentuk "gurauan" yang dibuat oleh rakan lain.

Beliau juga berkata kedua-dua anggota parlimen BN itu tidak perlu meminta maaf kerana kenyataan itu tidak berbaur penghinaan.

Sebagai sebuah masyarakat bertamadun, sebagai seorang ahli parlimen yang turut di undi oleh wanita, sebagai pemimpin politik yang mewakili aspirasi kerajaan Islam Hadhari seharusnya kenyataan penghinaan seperti itu tidak berlaku.

Angkatan Muda keADILan Malaysia dengan ini tegas mendesak Ahli Parlimen Barisan Nasional menarik semula kata – kata beliau dan meminta maaf. Tindakan sewajarnya harus diambil oleh Kelab Penyokong Kerajaan (back bencher).

Angkatan Muda keADILan Malaysia bersesuaian dengan semangat Hari Ibu menyeru rakyat agar memandang serius penghinaan terhadap kaum wanita ini.

Isu kebocoran di bangunan Parlimen seharusnya dibincangkan secara serius kerana projek pengubah suaian dan selepas itu baik pulih bangunan tersebut telah memakan bukan sedikit wang rakyat.

Angkatan Muda keADILan Malaysia juga mencabar Wanita dan Puteri Umno serta sayap wanita parti komponen BN menyatakan pendirian dalam perkara ini.

Sekian.

ZARERAH HANIM MD ZAKI
Exco Angkatan Muda keADILan Malaysia
erahanim@gmail.com


No comments:

Post a Comment