Monday, April 23, 2007

Hak asasi perlu dituntut bukan diminta...

Baru-baru ini Suhakam telah mengeluarkan laporan penuh berkaitan insiden keganasan polis terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan aman di KLCC pada 28 Mei 2006 bagi membantah kenaikan tol.

Dalam laporan terbaru Suhakam ini beberapa cadangan telah dikemukakan oleh penel Inkuiri yang diketuai oleh Dato K.C. Vohrah (mantan Hakim Mahkamah Tinggi).

Antara lain:

- tidak menjadikan satu kesalahan jenayah (decriminalising) bagi perhimpunan tanpa permit polis di bawah seksyen 27 Akta Polis 1967;

- pihak polis tidak menghadkan hak mana-mana orang di negara ini untuk terlibat dengan mana-mana aktiviti yang berbentuk protes;

- memansuhkan sama sekali seksyen 27(2), (2A) hingga (2D), (4)(4A)(5)(5A) hingga (5C), (7), (8) dan seksyen 27A Akta Polis 1967.

Laporan tersebut juga mengecam tindakan pihak polis yang menggunakan helikopter untuk mengganggu mereka yang berhimpun. Pihak Suhakam begitu tegas mengecam pihak polis apabila juruterbang helikopter mengakui bahawa dia telah merendahkan helikopternya atas arahan ketuanya meskipun tindakannya tersebut diakui boleh membahayakan keselamatan beliau dan orang ramai.

Bagi pejuang-pejuang demokrasi di negara ini dan rakyat yang peka terhadap hak mereka, cadangan-cadangan Suhakam ini amat besar maknanya. Namun harapan untuk melihat ianya dilaksanakan oleh pihak kerajaan khususnya pihak polis amat kecil.

Kita tentu masih ingat bagaimana sebelum ini pihak Suhakam juga telah mengeluarkan laporan inkuiri berkaitan keganasan pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun secara aman di Lebuhraya Kesas.

Laporan Kesas tesebut bukan sahaja mengesahkan bahawa pihak polis telah melakukan kesalahan pencabulan hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi juga mencadangkan agar beberapa peruntukkan di bawah Akta Polis khususnya yang berkaitan dengan kebebasan berhimpun dipinda atau dimansuhkan terus.

Jika dilihat kepada laporan Kesas tersebut, Suhakam malah mencadangkan agar pihak polis tidak membuat sekatan jalan raya bagi menghalang orang ramai untuk menyertai mana-mana perhimpunan secara aman.

Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Diraja Bagi Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia yang dipengerusikan oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Dzaiddin, pihak Suruhanjaya juga telah mengkritik sikap dan tindakan pihak polis dalam menangani isu hak berhimpun dan telah mencadangkan agar seksyen 27 dipinda manakala seksyen 27A, 27B dan 27C dimansuhkan sama sekali.

Seksyen 27 Akta Polis berkaitan dengan sekatan hak berhimpun di tempat awam yang memerlukan lesen/permit daripada pihak Ketua Polis Daerah manakala seksyen 27A adalah berkaitan sekatan kebebasan mengadakan aktiviti temasuk berhimpun di tempat persendirian ( private place).

Suruhanjaya Diraja ketika mencadangkan seksyen 27A dimansuhkan menyatakan "this (section) spells the end of the freedom of assembly, speech and association provided by the Constitution." (Terjemahan: seksyen ini melenyapkan kebebasan berhimpun, bersuara dan berpersatuan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.)

Selain Suhakam dan Suruhanjaya Diraja tersebut, pihak Mahkamah sendiri telah memutuskan dalam beberapa kes yang melibatkan pendakwaan di bawah seksyen 27 dan 27A memihak kepada mereka yang dituduh.

Dalam kes Dzulkilfli Ahmad v Pendakwaraya, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru memutuskan bahawa sebarang perhimpunan di tempat persendirian tidak memerlukan permit polis meskipun penganjur menggunakan pembesar suara dan suara penceramah melangkaui keluar daripada premis persendirian tersebut.

Di dalam kes terbaru Pendakwa Raya v Mohamad Sabu (2007) Hakim Dato Sulaiman Daud pula memutuskan bahawa perhimpunan di premis persendirian tidak memerlukan permit. Di dalam kedua-dua kes tersebut meskipun perhimpunan diadakan di rumah persendirian pihak polis telah menyalahguna kuasa mereka apabila meminta perhimpunan dihentikan dengan alasan tiada permit.

Setelah kita meneliti kesemua cadangan positif dari badan-badan yang ditubuhkan secara spesifik bagi menambah baik dan mempertingkatkan hak asasi manusia, persoalan yang harus ditanya adakah rakyat Malaysia hanya berhak untuk berkongsi cadangan-cadangan itu di kertas tanpa menikmatinya di dalam bentuk perlaksanaan.

Atau dengan suara yang lebih keras lagi adakah polis atau kerajaan benar-benar ambil peduli cadangan-cadangan tersebut atau ianya sekadar masuk ke telinga mereka yang pekak dan tersumbat!

Melihat kepada tindakan ganas pihak polis meleraikan mereka yang berhimpun di perhimpunan-perhimpunan menentang kenaikan tol hanya membawa kita kepada satu kesimpulan sahaja iaitu kerajaan dan polis langsung tidak peduli (laporan-laporan tersebut).

Harus diingat baik bahawa Suhakam mahupun Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan beroperasi dengan wang pembayar cukai. Jika pembayar cukai tidak mendapat manfaat daripada cadangan-cadangan positif hasil daripada laporan badan-badan tersebut, wajarkah badan-badan itu terus wujud dengan duit pembayar cukai.

Secara peribadi saya nyatakan di sini, kita perlu belajar dari banyak sejarah dunia...hak asasi sebagai manusia tersebut hanya akan diperolehi bukan dengan meminta atau mengharap tetapi perlu dengan kesedaran dan perlaksanaan. Ayuh lahirlah perjuangan anak muda yang berani, bangun , melaksanakan kata - kata..kita tuntut hak kita..


No comments:

Post a Comment