Wednesday, March 07, 2007

Johari Baharum dan terselaknya skandal "ada serupa tiada"

Sejak tercetus tuduhan bahawa Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd. Johari Baharom menggasak sehingga lebih RM5 juta, saya mengumpul pelbagai berita dan ulasan mengenai apa yang berlaku itu. Sebelum ini, blog saya bagai arkib sambilan. Tapi, dalam soal Johari, ia bagai arkib sepenuh masa.

Saya baca semua berita dan semua ulasan. Antara yang paling menarik hati saya ialah apa yang dinyatakan dalam blog saudara saya, Datuk Ruhanie Ahmad: "Kalau dilihat kandungan dan cara penulisannya mirip laporan dalam kes fail yang di hantar oleh polis kepada KDN".

Spy Catcher yang menyatakan perkara itu tentu mempunyai pengalaman. Perkara itu juga dibangkitkan oleh saudara saya, Amin Yatim, dalam blognya, Cuit Sikit.

"Kesimpulan awal ialah, blog ini (blog yang membuat tuduhan) sememangnya diwujudkan khusus untuk mengemukakan dakwaan ini dan saya percaya ia dilakukan oleh seseorang yang mengetahui susur galur isu ini.

"Orang tersebut boleh sahaja sekumpulan pegawai polis atau pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, kumpulan pemikir UMNO tertentu mahu pun pihak Biro Tata Negara (BTN).

"Hanya kumpulan-kumpulan seperti ini mampu memberi publisiti meluas dan asas kepada wartawan untuk menyoal," kata Amin.

Amin mungkin betul. Cerita tentang Johari yang berasal dari sebuah laman web yang tidak diketahui tiba-tiba menjadi konsert yang bingit yang menyanyikan lagu maut untuk timbalan menteri itu. Saya percaya, saudara-saudara saya yang handal mengesan cerita seperti Raja Petra Kamarudin, Ahirudin Attan atau Jeff Ooi tidak menyedari wujudnya laman web itu sebelum konsert tersebut melalak.

Soalnya, konsert siapakah ini? Siapa perancang, pembiaya, pengarah dan penyusun muziknya?
Mengapa lagu maut mereka dijerit pekikkan kepada Johari? Di mana busuk dan tengiknya Johari di sisi mereka? Apa yang menyebabkan Johari kelihatan menghampiri expiry datenya? Apa yang menyebabkan Johari kelihatan falling out of favour?

Adakah kerana Johari seorang timbalan menteri yang bukan sahaja kelihatan lebih cerdik malah, menurut cerita kawan-kawan yang dekat dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, dia sememangnya lebih cerdik dari sang menteri?

Seingat saya, belum ada mana-mana pegawai polis yang berani membuat kenyataan seperti kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee terhadap seorang Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Kes pembunuhan Mustakizah masih segar dalam ingatan ramai pemerhati politik dan mereka yang prihatin dengan prestasi polis dalam menjalankan tugas apabila terkait dengan orang-orang yang dekat dengan puncak kuasa.

Soalnya, beranikah Musa membuat kenyataan seperti itu dan beranikah Christopher mempersoalkan Johari jika mereka tidak diyakinkan bahawa mereka mendapat restu dari pihak tertentu?
Itu tentang konsert dan restu.

Perkara yang lebih penting lagi ialah apa yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, iaitu terselaknya skandal yang lebih besar lagi. Mungkin ramai yang tidak terlintas untuk membangkitkan perkara itu walaupun ia telah menjadi rahsia umum.

"The RM5.5 million “Freedom for Sale” scandal has the unintended consequence of surfacing another equally big scandal – that the country has an Internal Security Minister only in name while Johari as the Deputy Internal Security is the de facto Minister exercising all the EO powers including signing and ordering formal detentions without trial for criminal suspects.

"The practice of the deputy minister exercising Ministerial powers is meant to be the exception and not the rule, but here, we have the exception becoming the rule. We have Johari the Deputy Internal Security Minister exercising all the Ministerial powers under the EO with regarding to detention of criminal suspects without trial, because Prime Minister Abdullah is the “absentee” Internal Security Minister as well as “absentee” Finance Minister," kata Lim.

Apa yang dinyatakan oleh Lim, tentang fenomena "ada serupa tiada" itu, tidak perlu diulas lagi. Kalau diulas lagi, bagaikan sudah terang nak bersuluh lagi. Membazir tenaga.
Berikut ialah antara lakaran keresahan Johari semasa berhadapan dengan media di Jitra 4 Mac lalu:
Tuduhan-tuduhan Johari kepada polis:
  • Untuk pengetahuan tuan-tuan, sebenarnya Ordinan Darurat digunakan polis untuk bantu polis dalam siasatan kes-kes yang tidak mempunyai bukti kukuh. Polis sendiri tidak boleh memberi bukti kukuh untuk mendakwa orang itu di mahkamah, maka digunakan peruntukan di bawah Ordinan Darurat. (Maklumat) Ordinan Darurat berasaskan kepada saksi-saksi yang ada.
  • Yang dihantar polis kepada saya tidak ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) pun ada. Ada yang tiga hari, ada yang enam hari dan ada lima hari untuk saya buat keputusan. Ini tidak adil. Sepatutnya pada hari ke-45 ia ditahan (suspek) sebelum 60 hari, polis mesti hantar laporan kepada saya dan saya ada 15 hari untuk buat penilaian tapi kebelakangan ini ada laporan yang dibuat kurang daripada lima hari.
  • Kita mahu tahu berapa banyak orang yang ditahan polis di bawah ordinan itu. Saya dapat tahu daripada sumber kita, ramai yang dilepaskan. Di peringkat ini, kita kena lihat perkara ini. Saya tak mahu ada salah guna.
  • Saya tak mahu polis guna jalan singkat untuk selesaikan masalah mereka. Awak tidak boleh guna jalan singkat. Awak, kalau polis, kena dapatkan maklumat untuk menahan orang. Ordinan Darurat ini adalah jalan terakhir tapi hari ini fail (tahanan di bawah ordinan itu) datang bersusun. Fail ini menunjukkan polis tidak ada kredibiliti untuk selesaikan masalah.

Pendedahan Johari:

Kita ikut prosedur dan semua sebab yang dibuat itu ada alasan kukuh yang membuatkan kita buat keputusan itu. Kadang-kadang ada rayuan daripada wakil rakyat, Menteri Besar dan orang tertentu mengenai orang yang ditahan di bawah Ordinan Darurat yang masih tidak saya layan.

Ada orang berprofil tinggi yang mendapat rayuan daripada Menteri Besar, wakil rakyat dan ahli politik dan daripada menteri yang dihantar kepada saya.

Pengakuan Johari:

Jadi kita terpaksa tolak sesetengah kes. Bukan semua kes yang dihantar polis itu kita terima. Ada kes yang kita tak puas hati dan kita lepaskan... itu pun baru tiga sahaja.

Penafian Johari:

Kes tiga orang ini kita buat selepas kita nilaikan. Saya boleh lepaskan, saya sendiri sebagai timbalan menteri kalau saya tidak setuju ditahan, saya lepaskan orang itu atau saya tengok jika tidak setuju ditahan, dia mesti dibuang daerah. Ini kuasa saya.

Kesamaran jawapan Johari mengenai kes bulan Januari:

Banyaklah... saya tidak mahu bangkitkan. Sebenarnya banyak kes yang ditolak oleh Lembaga Penasihat sebelum ini.

Gambaran sikap orang-orang berkuasa seperti Johari - senang ja, KTM (Kill the messenger):
Siasat dakwaan itu betul-betul dan juga mereka yang terlibat dengan penggunaan laman web itu untuk memburukkan pemimpin-pemimpin negara.

Penghakiman oleh Johari:

Apa yang dituduh melalui laman web itu tidak ada asas.

Nasihat Johari - supaya polis proaktif terhadap apa yang dianggap dakwaan laman-laman web:
Kalau polis tidak ambil tindakan proaktif, polis gagal dalam usaha mengatasi perkara ini.
Bagaimanapun, bila polis proaktif terhadap dakwaan yang dibuat, Johari rasa tak adil pula...
"Adalah tidak adil apa sahaja yang dibangkitkan oleh laman web itu menjadi satu asas kepada sesuatu perkara yang dituduh (terhadap) mana-mana pemimpin di Malaysia".

dari blog penarik beca

No comments:

Post a Comment