Saturday, March 17, 2007

ADUN Bahau sertai MCA, AMK NS terus mantap

Kenyataan Akhbar
Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan.
Jumaat 16 Mac 2007
Merujuk kepada isu bekas Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, YB Lim Fui Ming yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau yang keluar dari DAP pada 9 Januari lalu, serta mengumumkan menyertai MCA pada 15 Mac 2007, adalah dengan ini Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan mengalu-alukan tindakan tersebut.

Tindakan beliau menyertai MCA secara tidak langsung mematikan khabar-khabar angin yang Lim Fui Ming akan menyertai Parti Keadilan Rakyat atau menjadi ahli Kelab Penyokong PAS, dimana ini akan menyebabkan suasana yang tidak sihat dalam pakatan pembangkang di negeri ini.
Sehubungan dengan itu pihak kami menyeru kepada pengundi-pengundi Melayu terutama dari kalangan penyokong dan ahli Parti Keadilan Rakyat atau pun PAS yang mengundi di kawasan yang diwakili oleh calon pembangkang yang bukan Melayu agar mengundi calon pembangkang. Ini adalah kerana calon pembangkang bukan Melayu di Negeri Sembilan ini mempunyai peluang yang lebih besar untuk menang dalam pilihanraya. Dalam erti kata lain undi orang Melayu di kawasan tersebut akan menjadi faktor penentu kemenangan calon pembangkang di negeri ini.
Pihak kami juga amat mengalu-alukan perisytiharan awal Lim Fui Ming menyertai MCA dengan ini akan lebih memudahkan pakatan pembangkang di negeri ini membuat perancangan awal menghadapi pilihanraya. Perisytiharan ini memang sudah kami jangkakan lebih awal lagi. Dan kami yakin kemasukan Lim Fui Ming ke dalam MCA sedikit pun tidak menggugat persiapan pembangkang di negeri ini untuk menghadapi pilihanraya.
Ariffin @ Rebin B. Berham
Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment