Friday, January 26, 2007

Saya tidak yakin dengan BPR : Datuk Ishak

Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail tidak bercadang membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaannya terhadap abang Menteri Besar Negeri Sembilan, kerana beliau “tidak yakin ia akan membawa sebarang hasil”.

Baru-baru ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mencabar orang ramai membuat laporan kepada BPR jika mereka mempunyai bukti bahawa abangnya Datuk Azman Hasan mencampuri pentadbiran kerajaan negeri.

Awal bulan ini ada pihak tertentu menconteng dinding beberapa bangunan di sekitar Seremban, menuduh Azman Hasan, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, mengganggu urusan kerajaan negeri.


Ishak berkata, sebelum ini, beliau pernah membuat laporan kepada BPR berhubung dakwaan seorang bekas ahli Exco kerajaan negeri telah menyelewengkan pungutan derma untuk pertubuhan anak yatim “tetapi hingga sekarang belum diketahui kedudukannya”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng itu berkata, beliau membuat laporan tersebut lima tahun lalu, tetapi sehingga hari ini beliau tidak mengetahui hasil siasatan BPR terhadap laporan tersebut.

Ishak mendakwa, bekas exco tersebut telah membuat jamuan sambil memungut derma kononnya untuk disumbangkan kepada pertubuhan anak yatim di Negeri Sembilan.

Pungutan derma

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pungutan derma tersebut tidak disumbangkan kepada pertubuhan anak-anak yatim terbabit.

Ishak berkata, beliau mendapat maklumat mengenai salahlaku Exco terbabit setelah membuat siasatan ke atas pertubuhan berkenaan.

Mengenai isu yang membabitkan abang Menteri Besar itu, Ishak mempertahankan dakwaannya bahawa Azman sering mengarahkan jabatan kerajaan supaya memberikan kontrak kepada kroninya.

“Tidak ada sebab lagi untuk saya membuat aduan BPR kerana kes yang membabitkan bekas Exco itu tidak diambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Ishak berkata, apabila beliau bertanyakan mengapa perkara itu berlaku, pegawai-pegawai BPR Negeri Sembilan memberitahu ia tidak diteruskan kerana arahan pihak atasan.

Sementara itu, Pengarah BPR negeri, Mohd Yusoff Md Zain enggan mengulas mengenainya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Ariffin Berham mendakwa pergerakan itu pernah cuba menghantar nota bantahan mengenai campurtangan Azman kepada Menteri Besar, tetapi tidak berjaya walaupun temujanji awal telah dibuat.

“Datuk Seri Mohamad berkata, beliau mahu laporan mengenai kes rasuah abangnya tetapi apabila Angkatan Muda PKR mahu menghantar nota bantahan, beliau tidak mahu dan takut menerimanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment