Wednesday, July 26, 2006

Demonstrasi sokong Palestin: lagi sandiwara Pemuda Umno

DEMONSTRASI yang dianjurkan oleh Pemuda Umno di perkarangan KLCC pada 21 Julai lalu berhubung isu keganasan rejim Israel ke atas masyarakat sivil Palestin hanya sandiwara untuk menutup kebobrokan sistem yang mereka dokong di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) ~ kerajaan yang tidak jauh beza dalam hal kezaliman dan penindasan terhadap rakyat.

Demonstrasi itu bolehlah disifatkan sebagai kuman seberang laut nampak, tetapi gajah di hadapan mata tidak nampak. Parti-parti pembangkang di negara ini, termasuklah keADILan sesungguhnya lebih jauh ke hadapan dalam mengutarakan isu ketidakadilan secara cukup konsisten samada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Pemuda Umno dalam beberapa perkembangan hanya berani berhadapan dengan musuh yang tidak mungkin bertindak balas secara segera.

Bahkan, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sendiri menyatakan bahawa berdemonstrasi bukanlah budaya mereka. keADILan Parit Sulong percaya, seandainya tentera Israel itu berada di hadapan mata dan menembak gas pemedih mata dan 'air racun' sepertimana yang ditimpa oleh pendukung reformasi sejak tujuh tahun lalu; Pemuda Umno jualah yang akan meninggalkan terus perjuangan. Kita lihat bagaimana dalam kes penganiayaan dan fitnah yang dilempar kepada orang nombor dua dalam parti itu pada 1998, Pemuda Umno membuat keputusan menyokong Presiden Umno yang mengatur segala konspirasi dan mengaibkan Anwar Ibrahim tanpa belas dan tanpa pertimbangan maruah manusia. Apakah ini sikap sebuah gerakkan yang kononnya membela umat dan pendukung keadilan sejagat?

Oleh itu, kami menyifatkan bahawa tindakkan Pemuda Umno menganjurkan demonstrasi di KLCC tempohari hanya mahu meraih sentimen umat Islam yang sediakala marah terhadap rejim Zionis Israel. Hal ini samalah dengan sikap mereka terhadap kes “kartun hina Nabi” apabila kononnya mereka 'membela' Islam dan Nabi untuk meraih sokongan secara paling murah dan tidak bermoral.

Kami ingin mengulangi bahawa hanya Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berani bercakap kepada bekas Setiausaha Pertahanan Amerika, Paul Wolfowitz mendesak agar Amerika membawa keluar tentera daripada bumi Iraq dengan kadar paling segera. Tidak ada pemimpin dunia Islam lainnya yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan moral sekuat itu untuk berhadapan dengan kuasa besar dunia, Amerika, dan tindakkan berhimpun sepertimana yang dianjur oleh Pemuda Umno hanya sandiwara politik semata-mata.

Rakyat dapat lihat bagaimana kes penutupan akhbar Sarawak Tribune apabila kemudiannya satu permit baru yang dilaporkan kurang daripada tiga hari diluluskan untuk menjadi lidah propaganda BN Sarawak untuk memenangi Pilihanraya Negeri beberapa bulan lalu. Malah, surat khabar itu kemudiannya menerbitkan berita yang menghina dan cuba mencerna Penasihat keADILan, Anwar Ibrahim dengan foto beberapa pondan yang kononnya menyokong Anwar dan keADILan.

Oleh itu, sikap talam dua muka dan berpura-pura dan amalan "menjual agama" dan "melelong umat" untuk kepentingan politik sepertimana sikap Pemuda Umno termasuk dalam kes Israel-Palestin itu hanya sandiwara dan politik lapuk yang tidak akan mengamit sokongan Muslim dan rakyat di negara ini.

No comments:

Post a Comment