Saturday, October 01, 2005

BELASUNGKAWA Tutupnya Kitab Hayat Khalid

PADA 21 jam sebelum jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad di hadapan Dataran Merdeka berdetik menganjakkan usia kemerdekaan ke angka 48 tahun, Tuhan telah megutuskan Malaikat Maut mencabut nyawa Khalid Jafri@Bakar Shah. Tepatnya jam 3.00 petang, 29 Oogos 2005 maka tertutuplah kitab hayat Khalid Jafri alias Bakar Shah. Ia telah mengakhiri kehidupannya – melata menghirup kepuasan duniawi di atas pundak maya ini selama 65 tahun. Khalid, dari segi sejarah (tanpa melihat hitam atau putih) sebagai manusia telah meninggalkan legasi cukup hebat kepada negara ini. Beliau ditauliah oleh setengah manusia sebagai sang hero yang menjatuhkan sang hero, bekas TPM Anwar Ibrahim melalui buku beracunnya berjudul “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM.” Betapa buku itu telah menggoncang politik negara ini. Ia disebut bukan sahaja di Malaysia, tetapi terhimbau ke seluruh dunia, kerana ia melibatkan tokoh yang hebat dan terkenal. Sesiapa pun tidak menduga tiba-tiba nama Khalid turut melayang dan beriringan dengan nama Anwar ke seluruh dunia. Bila menyebut kecelakaan dan sejarah kejatuhan Anwar, maka nama buku itu disebut. Nama Kahlid turut terheret sama. Walaupun ada nama-nama lain lebih penting di sebalik tragedi hitam terancang itu, namun nama Khalid tidak dilupakan. Nama Khalid tersangkut di cangkuk yang paling tinggi pada pancang maufakat jahat itu. Sekiranya kata-kata Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Mohamad Saman Ramli ketika mengulas keputusan penghakiman ke atas Khalid; bahawa Khalid terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Anwar dengan buku itu, betapa hitam dan zulmatnya nama Khalid Jafri. Sah beliau berdosa kepada bukan sahaja Anwar dan keluarganya, namun kepada 25 juta rakyat negara ini. Apakah beliau benar-benar terlibat atau sekadar berada di pinggiran dalam konspirasi itu? Sukar untuk disahkan! Dalam hal ini Kahlid sahaja yang mengetahui. Dan kini Khalid sudah pun berganjak ke alam ghaib dan sedang berhadapan dengan Atiq dan Ratib. Khalid tidak bisa lagi menjelaskan hakikat ini. Maka tertinggallah persoalan itu kepada kita tanpa jawaban yang putih. Tidak dapat dielakkan, kesan kepada kehidupan Khalid ekoran buku itu sungguh besar sekali. Beliau dicemuh dan dihina di mana-mana sahaja. Beliau dilihat sebagai satu mahkluk yang huduh berterbangan bersama beberapa bapa konspirator termasuk bekas PM yang juga bapa Marina. Ke mana beliau pergi, beliau akan diludah. Sehinggakan beliau menjadi malu dan sentiasa melarikan diri daripada dunia. Kehadirannya di mahkamah kerana menjawab pertuduhan di atas beberapa pendakwaan, bagaikan seekor anjing kurap. Namun atas kehendak undang-undang negara beliau tidak dapat mengelak dan terpaksa menyerah diri kepada khalayak. Apabila mahkamah memutuskan beliau bersalah, dan dipenjara selama setahun serta diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM4.5 kepada Anwar, di sinilah kemucak kemarahan umum kepadanya. Keputusan mahkamah itu meletakkan beliau dalam kedudukan bersalah dan hina dina. Bermula dari situlah beliau yang sudah diserang kencing manis terus diserang berbagai penyakit kronik lain. Penyakit jiwa, penyakit malu, penyakit bersalah dan berdosa akibat keputusan itu. Semuanya menekan beliau. Keadaan ini menyuburkan virus kencing manis, sehinggalah akhirnya membawa beliau memasuki perteduhan alam kubur. Daripada segi pandangan zahir, perjalanan pulang Kahlid dalam suasana yang sungguh pilu, sedih dan menyakitkan. Ianya sungguh mendukacitakan. Beliau pergi dalam keadaan anggotanya tidak lengkap di mana sebelah kakinya terpaksa dipotong dan dikapan berasingan dengan indera yang lain. Gambaran ini menunjukkan kematian beliau tidak dalam sempurna! Astaghfirullah! Suasana kurang senang ini juga terlihat di rumahnya di PD Villa Port Dikcson. Pada hari pengembumiannya sungguh menyayu dan menyedihkan. Tidak ramai yang meziarahi jenazahnya. Kematiannya seakan tidak diratapi dan disendui rakyat. Ia kontras dengan statusnya yang dinobatkan sebagai hero bergelar ‘Datuk’! Tidak ramai yang hadir melainkan keluarga terdekat dan rakan-rakan sepermainan di Utusan Melayu dan juga di dalam dunia perfileman. Tidak ada manusia berwajah lembut, jernih mengeliling jenazahnya. Tidak ada manusia berjubah, berjanggut hadir menziarahinya. Tidak ada manusia berkupiah putih yang sedang membaca ayat-ayat suci di sisi jenazahnya! Tidak ada Mufti, tidak ada Tuan Kadhi, dan tidak ada Ustaz. Apakah kekeringan manusia ini melambangkan beliau begitu jauh dengan kumpulan manusia demikian? Paling menyedihkan, bukan itu sahaja. Demikian juga dengan manusia berperwatakan ‘cepra’ tidak juga kelihatan. Tidak ada tokoh-tokoh besar di dalam parti dihuni oleh para konspirator menjatuhi Anwar hadir. Padahal sebelum ini beliau dilihat sebagai pengilham kepada golongan berkenaan dalam menggerakkan kerja bajingannya. Apakah mereka juga terasa malu untuk hadir selepas mahkamah mengesahkan dosa Kahlid? Jadi mereka malu! Aneh ... seharusnya tidak timbul perasaan keimanan itu, mereka semua sepatutnya hadir. Atau setidak-tidak seorang di kalangan mereka bertaraf menteri hadir sebagai mewakili golongan konspirator itu. Setidak-tidak wakil mereka dari Melaka atau Negeri Sembilan! Seharusnya keranda Khalid dipenuhi dengan bunga-bunga simpati yang bertimbun dan melambak. Atau perjalanan Kahlid ke kubur diiringi oleh ribuan manusia yang menyanjunginya selama ini. Tetapi tidak ada. Khalid berjalan sendirian sahaja ke lahad tanpa tepukan dan ucapan syabas yang diterimanya seperti sewaktu Anwar dipecat pada 3 September 1998 dahulu. Malahan mereka bagaikan tidak tahu pun bahawa orang yang menjadi ilham di atas kejayaan mereka sudah tiada. Mereka seolah tidak terasa pun bahawa penulis buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM” itu sudah diperintah berangkat ke alam akhirat. Kesian Khalid. Duka Khalid. Sedih Khalid. Sendu Khalid. Hina Khalid, kerana kematiannya tidak diratapi, malahan kewujudannya seakan memecahkan Malaysia kira-kira tujuh tahun lalu tidak dipedulikan langsung. Jasa-jasa Khalid tidak dikenang sekuman pun dan ini sekali gus menjadikan Darjah Kebesaran yang diterima dari kerajaan Melaka yang membawa gelaran Datuk itu juga palsu belaka. Apa pun atas nama al-nas (manusia) yang dicipta dari setitik mani, menjadi naufah kemudian dibubuh nyawa dan kemudian ditarik kembali, sama-samalah kita menginsafi, mengambil iktibar di atas yang berlaku. Apapun dosa dan pandangan kita kepada Khalid, kita terima ia sebagai takdir Ilahi. Sudilah mensedekahkan al-Fatihah untuknya. - Reformasi. ***Seharusnya keranda Khalid dipenuhi dengan bunga-bunga simpati yang bertimbun dan melambak. Atau perjalanan Kahlid ke kubur diiringi oleh ribuan manusia yang menyanjunginya selama ini. Tetapi tidak ada. Khalid berjalan sendirian sahaja ke lahad tanpa tepukan dan ucapan syabas****

No comments:

Post a Comment