Monday, September 26, 2005

Krisis Air NS tiada kesudahan

SEREMBAN: Meskipun lebih dua bulan lamanya penduduk di sekitar Seremban, Negeri Sembilan menghadapi catuan bekalan air 24 jam berselang hari, masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS).Keadan menjadi lebih meruncing apabila bekalan air tidak diterima lebih dari dua atau tiga hari di beberapa buah taman di Seremban. Melalui sumber yang diperolehi daripada Pusat Aduan Rakyat Negeri Sembilan, penduduk di Taman Bukit Chedang, Gardens Homes Seremban 2, Bandar Seremban Selatan (BSS) dan beberapa kawasan sekitar, bertambah gusar apabila catuan berlanjutan kepada tiga hari. Seorang penduduk Bandar Seremban Selatan, Zaharuddin Mat Jan yang menghubungi Pusat Aduan Rakyat pada 22 September lalu berkata, bekalan air yang disalurkan kira-kira 10 jam sehari amatlah tidak mencukupi. Ini kerana hari yang berikutnya, bekalan air akan dicatu kepada beberapa hari lagi dan ada kalanya mencecah hingga ke tiga hari, katanya. "Nak tadah air dalam masa 10 jam memang boleh, tetapi air hanya datang pada waktu kita bekerja. Itu yang menyukarkan kami untuk menadah air. Balik kerja waktu petang hanya ada dua atau tiga jam sahaja waktu nak menadah air. Memang tidak sempat," katanya. Justeru beliau menggesa kerajaan negeri dan JBANS segera mengatasi masalah tersebut atau setidak-tidaknya menyediakan lori bekalan air yang dihantar dari rumah ke rumah. Sementara itu seorang penduduk dari Taman Bukit Chedang, Kamarudin Aziz pula berkata, catuan air yang tidak menentu memberi kesan buruk pada hari-hari bekerja. "Mana tidaknya, baju-baju kotor dan pinggan mangkuk yang kotor terpaksa dilonggok sehingga bekalan air disambung semula. Ini menjadikan keadaan rumah berselerak dan merimaskan," katanya. Selain itu dalam masa yang sama keadaan menjadi lebih sukar kerana isterinya baru sahaja melahirkan anak. Segala pakaian anak dan isteri kerap ditukar, tetapi untuk membasuhnya amatlah sukar akibat bekalan air yang tidak mencukupi, katanya. Sehubungan itu beliau menyeru kerajaan negeri dan JBANS prihatin kepada masalah rakyat ini dan berharap agar ianya segera di atasi. Puan Rodah Ibrahim yang ditemui di kediamannya di Taman Bukit Chedang menyatakan amat kesal dengan sikap kerajaan negeri dan rakyat negeri ini dalam isu air ini.”Air kotor memang menjadi masalah lama tapi kini bala baru, air pula tiada. Kini dah nak masuk tiga bulan nampak seperti tiada kesudahan catuan air ini.””Apa yang pelik juga rakyat negeri ini nampaknya diam saja, saya pernah usaha nak kumpul beberapa suri rumah untuk pergi pejabat MB dalam isu ini tapi ramai yang takut. Mereka lebih sanggup berserah tanpa menyuarakan hak,” keluhnya.Beliau juga mengatakan sudah jatuh ditimpa tangga itulah nasib pengguna kerana sudahlah air takda tetapi apabila air tiba 4-5 minit yang pertama meter pasti berjalan laju mengira angin yang ditolak oleh air yang baru masuk ke dalam paip. Malah 5 minit berikutnya air yang awal itu tidak dapat digunakan kerana terlalu kotor. Semasa tempoh catuan ini juga beliau mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan banyak belanja ekoran kerap menukar penapis air.Catuan bekalan air di sekitar Seremban berlaku setelah Empangan Sungai Terip yang menyediakan bekalan air di Negeri Sembilan mula surut sejak beberapa bulan kebelekangan ini. Dua bulan lalu, kerajaan negeri melalui JBANS mengumumkan catuan air yang pada mulanya dijadualkan selang dua hari tetapi akhirnya diubah kepada selang sehari. Banyak pihak mendakwa bahawa masalah bekalan air di negeri tersbeut berlaku akibat kelemahan pengurusan dan bekalan air JBANS. 13 Julai yang lepas Pemuda BA menghantar memorandum kepada menteri besar mengenai perkara ini. Beberapa laporan dakwaan penyelewengan bersangkutan isu ini telah diserah Angkatan Muda NS kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebulan lalu. Begitupun tidak ada sebarang tindakan mahupun respon dikeluarkan BPR atau JBANS berhubung dakwaan tersebut.Menurut Badrul Hisham Shaharin selaku Pengarah Pusat Aduan Rakyat (PAR), isu ini akan diangkat ke peringkat nasional. Menurutnya, PAR akan menghantar nota peringatan kepada semua ahli parlimen mengenai permasalahan ini dan membuat aduan rasmi kepada Perdana Menteri."Ia seperti krisis yang tiada kesudahan kerana tidak kelihatan kesungguhan kerajaan negeri dalam isu ini. Lebih menyedihkan kita bersedia mengenepikan label politik demi membincangkan dan mencari penyelesaian isu ini tetapi jelas exco dan menteri besar sendiri mengelak untuk mengadakan pertemuan.""Sebaliknya mereka terus mengeluarkan kenyataan retorik untuk menyelindungi kelemahan kerajaan negeri," tambah Badrul lagi.PAR menganggap isu itu amat serius dan bersedia bekerjasama dan sedia duduk berbincang dengan kerajaan negeri untuk sama-sama mengambil tanggungjawab memastikan rakyat tidak terus terjejas dengan masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment