Saturday, June 25, 2005

Guru Kecewa: Sistem Pendidikan terus jadi bahan eksperimen.

Bulan Disember tahun lalu ketika memenuhi jemputan majlis perkahwinan teman yang satu ketika dahulu pernah menuntut sekali di Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM) saya telah bertemu beberapa orang teman yang kini masih mengajar. Ramai antara mereka kelihatan begitu teruja apabila menemui saya dan mereka menyatakan rasa bangga kerana ada juga dari kalangan teman rapat mereka yang berani berjuang. Walaubagaimanapun pertemuan di majlis kenduri tidak lama kerana saya terpaksa bergegas untuk pulang ke Seremban dan bersiap untuk menghantar bekalan bantuan bagi pihak Angkatan Muda Malaysia bagi membantu mangsa Tsunami di Utara Semenanjung.

Seorang teman rapat saya ketika di MPRM menghantar saya ke kereta dan meminta saya meluangkan masa untuk satu pertemuan yang beliau akan adakan untuk mengumpulkan teman – teman guru yang menyokong keADILan khususnya bekas pelajar MPRM. Katanya banyak isu keguruan dan pendidikan yang perlu diketengahkan melalui ceramah dan tulisan saya.

Selepas itu ada beberapa kali saya berbual melalui telefon dengan nya, beberapa tarikh yang disusun terpaksa ditangguhkan kerana bertembung dengan perbagai tugasan saya. Dan akhirnya pertemuan yang beberapa kali tertangguh itu menjadi juga pada petang, 17 Jun 2005 yang lepas di sebuah restoran di Ampang . Pertemuan dihadiri teman – teman guru yang masih mengajar di beberapa buah sekolah di seluruh negara.

Kira kira 19 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (istilah jawatan guru) yang sempat hadir. Kesemuannya ada terdiri dari teman bekas MPRM, 5 orang kenalan baru yang merupakan guru sekolah menengah sekitar KL dan seorang teman guru yang datang sejauh Ipoh untuk pertemuan petang itu.

Memang seronok berbual dengan teman yang lama sudah tidak ditemui. Macam macam isu yang diketengahkan. Mereka meminta saya menumpukan isu – isu dalam pendidikan untuk diketengahkan oleh Angkatan Muda. Mereka kata ramai guru – guru sebenarnya menyokong keADILan tetapi nak buat macam mana tangan terikat dan mulut terkunci. Cuma yang menggelikan hati apabila ada antaranya mengatakan bangga kerana saya masih menggunakan nama cikgu di awal nama saya, kata mereka tak ramai cikgu yang selepas masuk politik atau tukar profesion nak kekal guna nama cikgu tu. Bagi mereka oleh kerana itu saya perlu mewakili dan mengenengahkan isu – isu mengenai keguruan.

Saya hanya tersenyum sahaja mendengar komen itu walaupun yang sebenarnya nama yang biasa saya gunakan bukan Cikgu Bad tetapi Che’guBard yang ada maksud tersendiri. Tetapi sesungguhnya saya amat menghargai golongan guru dan profesion awalan saya yang banyak mengubah diri ini.

Pertemuan petang itu mula menjadi serius apabila teman yang datang dari Ipoh mula menimbulkan topik mengenai betapa kecewanya golongan guru terhadap Dasar Pendidikan Negara. Katanya bagi pandangan beliau dan ramai orang guru lagi sebenarnya negara ini tiada dasar pendidikan.

Tegasnya “ apa yang dilakukan pengubal dasar ialah tidak berhenti – henti melakukan eksperimen demi eksperimen yang akhirnya memangsakan pelajar dan golongan (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan) yang berususan terus dengan pelajar.”

Contohnya baru – baru ini guru – guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah disuntik kejutan, apabila disogokkan dengan perubahan format peperiksaan Bahasa Melayu Penilaian Menegah Rendah (PMR) secara mendadak.

Sebagai seorang guru yang terlibat secara langsung dalam pengajaran Bahasa Melayu beliau sebenarnya sungguh kecewa dan mempersoalkan sampai bila sistem pendidikan kita harus dijadikan eksperimen ?

Beliau mula mengeluarkan fail dari begnya dan menghulurkan kepada saya beberapa dokumen berkenaan perubahan format PMR yang dimaksudkan.

Beliau menyatakan “ Belum pun sempat guru – guru Bahasa Melayu di sekolah mesra dengan format yang diperkenalkan dalam PMR 2002 dengan kemasukan komponen sastera dan item ringkasan dalam kertas satu dan kertas dua, tiba tiba diperkenalkan pula makluman akan wujudnya format baru yang akan terus digunapakai dalam PMR 2005.”

Berdasarkan format baru kertas dua bahasa melayu PMR 2005 pelajar – pelajar dikehendaki :

· menulis ringkasan berdasarkan petikan rencana
· menjawab tiga soalan pemahaman berdasarkan petikan rencana
· menulis karangan berpandu
· menulis karangan pilihan
· menjawab soalan novel

Hal ini bermakna bahawa soalan rumusan telah digugurkan. Apa yang ingin dipersoalkan, mengapa hal ini tidak diberitahu setahun lebih awal supaya pelajar malah guru – guru boleh bersedia ?

Katanya “bagi Pelajar – pelajar tingkatan tiga yang terlibat secara langsung dalam PMR 2005 selama dua tahun mereka membazir masa belajar menulis rumusan dari guru – guru semasa di tingkatan satu dan dua.”

“Bagi guru – guru pula mereka terasa seperti menipu pelajar dan selama dua tahun melakukan kerja yang sia – sia sahaja.” tambahnya kecewa.

Beliau menerangkan secara terperinci mengenai perubahan format yang dimaksudkan.

Dalam format kertas satu pula pelajar hanya perlu menjawab 40 soalan objektif berbanding 60 soalan sebelum ini.

10 soalan pemahaman berdasarkan teks sastera iaitu 5 soalan untuk puisi (moden atau tradisonal) dan 5 soalan lagi untuk petikan prosa (terdiri dari cerpen, drama atau prosa tradisonal).

Format terbaru sebelum perubahan mengemukakan 24 soalan pemahaman berdasarkan 3 bahan sastera dan 1 petikan rencana umum.

Sebagaimana sedia maklum dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3, pelajar – pelajar dikehendaki mempelajari 39 bahan prosa (18 cerpen, 9 drama dan 12 prosa tradisonal) dan 36 bahan puisi ( 18 sajak dan 18 puisi tradisional).

Daripada 75 bahan sastera tersebut hanya dua bahan sahaja di pilih untuk diuji melalui 10 soalan.

“Cubalah fikir kerasionalanya ?” tanya beliau mempersoalkan tindakkan penggubal format PMR.

Saya menerangkan kepada mereka petang itu dari pemerhatian saya sebenarnya pada dasarnya guru – guru tidaklah bersikap negatif terhadap sebarang perubahan kerana mereka juga memahami pendidikan yang baik sepatutnya tidak bersifat statik.

Namum begitu hal ini tidak harus dijadikan tiket pihak tertentu melakukannya sebagai tergesa – gesa

Sepatutnya kita perlu belajar dari pada eksperimen – eksperimen yang lalu bahawa perubahan tergesa gesa (ad hoc) akan pasti menimbulkan perbagai masalah yang akhirnya bukan sahaja memangsakan pelajar tetapi golongan guru juga.

Sekiranya perlu juga melakukan perubahan, apa salahnya dirancang secara teliti dan dilaksanakan secara berperingkat peringkat.

Saya merlahirkan simpati saya kepada golongan guru kerana Masyarakat dan para bijak pandai pendidikan sering menyalahkan guru apabila pelajar gagal memahami pelajaran. Kononya kegagalan itu belaku kerana guru gagal merancang pengajaran dengan baik. Kalau merancang pun tidak diambil kira faktor penting seperti kesediaan, pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar.

Kenyataan simpati saya terus disambut oleh salah seorang yang hadir dengan mempersoalkan tindakkan perubahan mendadak itu.

Katanya “Sekarang adakah pengubal format soalan tersebut mengambil kira kesediaan dan pengalaman sedia ada pelajar.”

Seorang teman yang lain pula berkata bawaha mereka sudah mula mual dengan kenyataan retorik bahawa guru, pelajar mahuopun masyarakat perlu bersikap positif menerima perubahan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Perubahan dalam sistem pendidikan memang perlu dari masa ke semasa bagi memenuhi tuntutan semasa.

Namum demikian pihak perancang harus melihat perubahan ini sebagai usaha jangka panjang sekurang kurangnya masa 10 tahun akan datang.

Apa yang dikhuatirkan ialah belum pun sampai lima tahun berjalan format baru, timbul pula format yang lebih terbaru, ini bukan berlaku sekali dan dalam satu perkara sahaja ia seperti kebiasaan dalam system pendidikan negara ini.

Ini bermaksud perancangan itu sendiri tidak terancang !

Kita juga perlu sedar setiap perubahan yang dilakukan sama ada dalam bentuk format peperiksaan atau sukatan pelajaran akan melibatkan perbelanjaan jutaan ringgit. Kita tidak mahu wang rakyat yang diamanhkan ini dibazirkan demi memenuhio nafsu sekumpulan manusia sahaja.

Dengan berlakunya beberapa perkembangan ini kementerian pendidikan (atau kini kementerian pelajaran) seolah tidak boleh mengelakkan untuk menerima tuduhan mereka mempunyai kepentingan dan mendapat keuntungan dari perubahan – perubahan mendapak ini. Tidak kira dari keuntungan syarikat buku tesk atau buku rujuakan atau sekurang kurangnya dari penganjuran kursus – kursus di perbagai peringkat utnuk menyampaikan perubahan ini.

Adakah perubahan ini dilakukan semata – mata kerana datang seorang menteri baru ? jika benar pendidikan negara punya dasar yang kukuh biar berapa menteri yang datang mereka harus melaksanakan dasar tersebut.

Sesiapa sahaja boleh bercakap dan merancang sesuatau yang dipanggil unggul jika pelasanaannya diserahkan kepada orang lain sepenuhnya.

Inilah dilemma guru yang sering menjadi bahan eksperimen agenda perancang yang ghairah membuat kertas kerja.

Apabila gagal pastinya kesalahan terhala kepada orang lain (sekolah dan guru-guru) pernahkah apabila gagal perancang – perancang ini dipersoalkan ?

Banyak sebenarnya yang diperbincangkan dalam pertemuan 4 jam petang itu. Seperti isu guru yang memegang jawatan politik (BN) mendapat cuti untuk menyertai aktiviti parti, salahguna harta sekolah untuk kepentingan parti, guru yang dipaksa mengajar bukan bidang dan bermacam macam lagi.

Saya cukup berterima kasih kepada teman – teman guru yang hadir untuk bersama petang itu Insya’Allah saya akan cuba memberikan penumpuan dan cuba mengenengahkan isu – isu berkenaan pendidikan negara yang tidak pernah selesai. Saya mengucapkan tahniah teruskan berjuang mendidik anak bangsa. Kerana perjuangan ini akan mencapai kejayaaan bila mana anak bangsa terdidik untuk membezakan kebenaran dan kebathilan dan berani menyatakan yang hak.

Friday, June 17, 2005

Kadar inflasi tinggi: Kerajaan salah urus ekonomi negara

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh)

Peningkatan mendadak kadar inflasi 3.1 peratus bagi bulan Mei lalu amat membimbangkan malah ada yang mendakwa peningkatan itu akibat kelemahan kerajaan dalam mengurus dan mentadbir ekonomi negara dengan baik. "Ini menunjukkan kerajaan gagal menguruskan negara oleh kerana itu kenaikan inflasi tidak terkawal berlaku dan bebanan tentulah terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Kejadian ini juga berkait rapat dengan kemusnahan ekonomi peninggalan Tun Dr Mahathir Mohammad seperti dasar penswastaan yang gagal dan hutang negara yang berbilion jumlahnya,"tegas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan (AMK), Badrul Hisham Shaharin.

Inflasi akibat kenaikan harga minyak

Menurut Badrul Hisham, kenaikan kadar inflasi juga adalah berikutan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sehingga mengakibatkan kenaikan harga barangan yang menyumbang kepada kelemahan kuasa membeli rakyat.

Kata Badrul Hisham, AMK mempersoalkan kenaikan harga minyak dan pengumuman penarikan subsidi minyak sedangkan minyak yang dikeluarkan negara berkualiti (kurang plumbum) dan harganya mahal apabila dijual ke pasaran luar Bagaimanapun untuk bekalan minyak domestik, negara pula terpaksa membeli minyak dari negara lain yang harganya lebih murah, kata Badrul Hisham.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kenaikan kadar inflasi kepada 3.1 peratus bagi Mei 2005 iaitu kadar tertinggi sejak enam tahun lalu.
Mengulas lanjut isu itu Badrul Hisham berkata, harga jualan hasil minyak negara menunjukkan perbezaan harga (margin keuntungan) amat tinggi.Justeru ia sepatutnya boleh membantu negara dan sebahagian dari keuntungan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk subsidi minyak.

Atas prinsip ini katanya lagi, Petronas ditubuhkan untuk menguruskan jualan dan belian minyak serta pengagihan subsidi juga menyelia margin keuntungan.

Tidak timbul soal tarik subsidi

Bagi AMK, jika Petronas mampu mendapatkan keuntungan yang tinggi sepatutnya tidak timbul soal subsidi terpaksa ditarik balik dengan menggunakan alasan harga minyak dunia naik dan kerajaan tidak sanggup menanggung subsidi. Kata Badrul Hisham, perlu ditegaskan bahawa bukan kerajaan yang menanggung tetapi petronas yang menanggung subsidi hasil dari margin keuntungan jualan minyak keluar dan belian minyak yang disebut di atas.

Maka kata Badrul Hisham, berapa tinggi harga minyak dunia naik tidak menjadi alasan untuk tarik subsidi kerana harga minyak yang petronas jual ke luar juga naik.

Petronas rugi akibat di era Tun Dr Mahathir

Tetapi dakwanya, menurut sumber dalaman Petronas apa yang berlaku ialah Petronas sedang menanggung rugi kerana kerakusan pemerintah dahulu (Mahathir) di mana ketika kegawatan ekonomi 1998-1999 Mahathir telah mengarahkan Petronas menjual minyak yang belum dikeluarkan (jual minyak yang masih dalam tanah) kerana dia memerlukan aliran tunai yang banyak untuk memacu ekonomi negara khususnya untuk 'bail out' syarikat kroni dan anak-anaknya.

Dakwanya lagi, minyak tersebut dijual berdasarkan harga ketika itu yang akhirnya hari ini harga minyak naik tetapi Petronas terpaksa menanggung rugi kerana terpaksa mengeluarkan minyak bukan berdasarkan harga pasaran kerana minyak yang dikeluarkan kini mengikut harga yang dijual mahathir ketika 1998 - 1999 berdasarkan perjanjian harga ketika itu.
Sehubungan itu katanya, Petronas kini sedang menanggung kerugian dan terpaksa mencadangkan penstrukturan semula syarikat yang mungkin mengakibatkan pembuangan pekerja dan penjualan beberapa sayap syarikat.

"Ini juga antara sebab mengapa mahathir bertindak cepat melantik dirinya selaku Penasihat dan kini Pengerusi Petronas. Untuk elak bocornya rahsia ini, kerajaan sanggup tarik tanggungungan subsidi yang petronas tanggung,"katanya.

"Ini sebenarnya yang berlaku yang lain tu semua sandiwara seperti skandal suruk diesel dan sebagainya untuk menipu rakyat agar menerima kenaikan harga minyak.

Rakyat tanggung beban kenaikan harga minyak

Natijah perbuatan itu hari ini bebanan kerugian itu dipulangkan kepada rakyat dengan kenaikan harga minyak dan penarikan tanggungan subsidi yang akhirnya menyumbang kepada kenaikan harga barang yang mendadak.

Bagaimanapun dalam isu kenaikan harga barang kerajaan katanya sekali lagi bersandiwara dengan membuat pemantauan dan mengarahkan peniaga serta pemborong agar tidak menaikkan harga barangan.

"Apa yang boleh mereka (peniaga) ini lakukan jika kos meningkat.Peniaga ni juga mangsa keadaan. Rakyat harus dicelikkan yang harus dimusuhi bukan peniaga tetapi kerajaan yang gagal menjalankan tanggungjawab melindungi rakyat,"katanya.

Sebaliknya kata beliau, dalam laporan akhbar ruangan ekonomi pasti setiap hari juga ada syarikat korporat yang mengisytiharkan keuntungan jutaan ringgit.

"Ini termasuk saham syarikat petroleum milik anak pimpinan kerajaan yang sahamnya melambung naik seiring dengan kenaikan harga minyak.

"Menteri naik gaji masih naik kereta mewah tetapi rakyat terpaksa menjual wira milik mereka dengan menukarnya dengan kereta kancil atau 'motor kapcai',"katanya.

Jabatan Perangkaan dedah kenaikan inflasi terburuk

Laporan akhbar semalam mendedahkan bahawa, rakyat Malaysia terpaksa berbelanja lebih pada bulan lalu apabila kadar inflasi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus, lonjakan tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun.

Paras itu adalah lebih tinggi berbanding kenaikan sebanyak 2.7 peratus pada bulan April, sekali gus melangkaui unjuran pasaran yang menjangka inflasi akan kurang daripada tiga peratus.

"Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.1 peratus kepada 108.8 pada bulan Mei 2005 berbanding 105.5 bagi bulan yang sama tahun lepas,'' kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kadar inflasi tertinggi pernah dicatat Malaysia ialah selepas krisis ekonomi serantau iaitu 3.8 peratus pada bulan Februari 1999.

Kadar inflasi bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini ialah sebanyak 2.6 peratus, melebihi purata 2.5 peratus yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia bagi keseluruhan tahun ini, kata Jabatan Perangkaan lagi.

Menurut Jabatan itu, peningkatan 2.6 peratus dalam IHP ialah kenaikan dalam semua kategori kecuali pakaian dan kasut yang menurun 1.1 peratus.

Paling tinggi ialah produk seperti air minuman dan tembakau (13.3 peratus), makanan (3.6 peratus) dan, pengangkutan dan komunikasi (2.4 peratus).

Lain-lain ialah barangan dan perkhidmatan (1.9 peratus), perbelanjaan kesihatan dan penjagaan perubatan (1.5 peratus), perabot, peralatan rumah dan operasi (1.3 peratus), sewa kasar, minyak dan tenaga (1.1 peratus) dan rekreasi, hiburan, pendidikan dan perkhidmatan budaya (0.3 peratus).

Katanya, tiga kumpulan utama iaitu makanan, sewa kasar, minyak dan tenaga serta pengangkutan dan komunikasi menyumbang kenaikan berjumlah 75.5 peratus keseluruhannya dalam tempoh tersebut. - mks.